Siakap Keli

(Video) Dari 1000 Tahun Kepada 1 Hari, Ini Cara Singapura ‘Hilangkan’ Sampah Plastik Mereka

Ke mana perginya sampah sarap di Singapura?

Tidak. Ia tidak dibawa ke Malaysia sepertimana negara-negara maju seperti Amerika dan Kanada yang menghantar sampah mereka ke negara kita. Ini apa yang dilakukan oleh Singapura untuk melupuskan sampah mereka di negara kecil tersebut.

Dengan keluasan hanya 50 kilometer (km) dari timur ke barat, 27 km utara ke selatan dan 193 km persisiran negara, Singapura perlu bijak menguruskan sumber dan sisanya bagi memastikan kemandirian rakyat mereka.

Dengan penghasilan 7.8 juta tan sampah dihasilkan setiap tahun di Singapura, mereka perlu menguruskan sampah dengan betul agar rakyat mereka tidak tinggal di dalam bukit sampah.

Oleh itu, sebagai negara maju dengan kepakaran 6729 saintis per satu juta rakyat dalam negara itu, mereka telah berjaya mengurus sisa negara dengan baik. Berikut merupakan cara mereka melupuskan sisa plastik negara itu.

1. Kutip sampah di seluruh negara dan hantar ke pusat pemprosesan setiap hari. Ya. Setiap hari. Ia mungkin tidak begitu sukar kerana keluasan negara tersebut yang kecil.

(Gambar: Wall Street Journal)

2. Hantar ke satu pusat pemprosesan. Pusat ini membakar sampah selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun pada suhu 1000 darjah celsius.

3. Jangan risau. Asap toksik yang dihasilkan diproses supaya tidak mencemarkan udara sekitarnya. Bahkan, tenaga haba yang bebas dari proses pembakaran tersebut ditukar kepada tenaga elektrik bagi membekalkan tenaga ke seluruh bandar. Genius!

4. Abu sampah. Seperti asap, debu plastik dibakar juga bersifat toksik. Bagi mengelakkan pencemaran, mereka membawa sisa tersebut ke satu pulau buatan dan membuangnya ke dalam takungan air yang jauh dari lautan.
Dengan cara ini, debu tidak berterbangan dan menjejaskan udara.

Mungkin ada antara kita berfikir, “Ala mudahlah bagi Singapura. Negara kecil, senang urus. Banding Malaysia ni, mustahil.”

Semua ini bermula dengan diri sendiri. Biarpun negara kita mungkin belum mampu menguruskannya seperti Singapura, kita mampu minimakan penghasilan sampah harian kita dengan mengurangkan penggunaan plastik.

Jangan lah kerana sikap kita, kita hidup dalam bukit sampah. Sudahlah negara maju jadikan kita sebagai tong sampah mereka, usah tambahkan lagi dengan penggunaan plastik tidak terkawal.

Akhir kata, monyet yang mencuri makanan biasanya akan biarkan sisa bungkusan bersepah. Kita pasti lebih bijak dari mereka bukan?

https://www.youtube.com/watch?v=Dei_duocsu4

Sumber: Nas Daily, Data World Bank, Data.gov.sg

Amira

Love yourself.