Siakap Keli
Gambar Hiasan

Gangguan Bekalan Air Di Empat Kawasan Hampir Pulih Sepenuhnya

Bekalan air di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang terjejas berikutan operasi henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih hampir pulih sehingga 96 peratus setakat 6 pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Abdul Raof Ahmad berkata segala usaha telah diambil bagi meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan kawasan terjejas.

“Setakat ini, bekalan air di 470 kawasan dalam empat wilayah tersebut telah pulih sepenuhnya. Bantuan melalui lori tangki air masih terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat masih beroperasi sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sejak 5 petang Rabu lepas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan punca pencemaran yang berada pada jarak 16 km dari muka sauk loji telah dikenal pasti.

Dilaporkan sejumlah 512 kawasan melibatkan 377,141 pelanggan berdaftar di empat daerah terbabit terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat susulan insiden itu.

Orang ramai boleh merujuk makluman rasmi dan status terkini melalui laman sesawang  www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Twitter Air Selangor.

Sumber : Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.