Siakap Keli
Gambar Hiasan

Ini Mungkin Pelukan, Ciuman Terakhir Saya – Banduan Penjara Penor

“Ini mungkin ciuman dan pelukan terakhir saya. Entah ada rezeki lagi atau tidak untuk saya mencium tangan emak dan ayah di masa depan.”

Itu luahan Pak Sodok, 49, banduan Penjara Penor di sini, yang dilihat tidak berenggang daripada sisi orang tuanya yang berusia 75 dan 78 tahun pada program Jalinan Kasih hari ini.

Dia yang menjalani hukuman penjara 30 tahun kerana kesalahan merogol berkata ia merupakan pelukan dan ciuman pertamanya sejak menjalani hukuman pada tahun 2012.

“Warden beritahu, saya terpilih menjadi sebahagian daripada peserta program dua hari lalu dan sejak itu, saya tidak senang duduk kerana sering menghitung waktu. Saya mahu hari ini segera menjelma.

“Saya gembira tapi dalam masa sama sedih juga kerana menyusahkan orang tua yang uzur melalui perjalanan jauh dari Batu Rakit, Terengganu untuk ke sini,” katanya semasa ditemui Bernama pada program itu.

Pak Sodok yang mendapat gelaran itu kerana bekerja sebagai pemandu jentera berat sebelum dihukum mengakui gembira kerana masih dapat merasai ‘pengalaman berhari raya’ termasuk berpeluang memakai baju Melayu berwarna hijau epal.

Katanya, hatinya mula terusik melihat tiga abang dan kakaknya turut serta dalam program itu, namun air matanya mulai gugur apabila ternampak kelibat dua anaknya yang berusia sembilan dan 12 tahun.

Bagi Dey, 33, yang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana kesalahan dadah mengakui dirinya seperti tidak percaya apabila melihat kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang lincah dan enggan duduk diam itu adalah anaknya.

“Saya kehilangan kata-kata bila anak panggil abah. Itu kali pertama saya dengar kerana dia hanya berusia 100 hari semasa saya ditangkap…sebak kerana dia mengenali saya mungkin disebabkan bekas isteri sering menunjukkan gambar.

“Saya hilang peluang untuk melihat anak membesar. Abang-abangnya juga sudah besar…sudah berusia 11 dan tujuh tahun, begitu berbeza daripada semasa kali terakhir saya boleh memegang mereka,” katanya.

Dey berharap masyarakat di luar dapat mengambil pengajaran daripada kisahnya supaya berfikir panjang dalam apa jua tindakan supaya tidak terjebak dalam kesalahan yang akhirnya merugikan diri.

Sementara itu, Pengarah Penjara Panor Datuk Abu Hassan Hussain berkata seramai 24 banduan daripada 2,254 penghuni penjara itu terpilih pada program itu, berdasarkan tingkah laku dan disiplin yang baik.

“Kita berharap mereka mengambil peluang ini untuk merapatkan kembali hubungan silaturahim sesama keluarga dan mungkin berbincang mengenai perancangan masa depan untuk mereka yang berpeluang dibebaskan.

“Banduan amat memerlukan sokongan keluarga apabila mereka dibebaskan untuk memulakan kehidupan baru,” katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Inisiatif Bandar Selamat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee.

Sumber:  BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.