Siakap Keli

Jokowi Sah Presiden Indonesia, Mahkamah Tolak Petisyen Prabowo

Jakarta : Presiden Joko Widodo atau Jokowi, akhirnya sah memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019), untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia bagi tempoh 2019-2024.

Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia hari ini menolak permohonan Prabowo Subianto, calon Pilpres 2019, yang memfailkan petisyen membantah keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU).

Keputusan itu dibacakan Ketua Hakim Anwar Usman pada jam 9.16 malam ini.

Jokowi, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan, berkata keputusan MK adalah sesuatu yang muktamad dan meminta seluruh rakyat Indonesia kembali bersatu.

Dalam pada itu, Prabowo dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan, berkata, beliau kecewa, namun menghormati keputusan MK itu dan meminta semua pihak tidak mencetuskan kekecohan, atau tindakan yang boleh menjejaskan keamanan.

Presiden Jokowi, sebelum ini diumumkan memenangi Pilpres 2019 oleh KPU pada 21 Mei lepas, namun Prabowo yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di MK.

Selepas keputusan KPU, pada 21 dan 22 Mei lepas, turut mencetuskan beberapa siri insiden rusuhan di Jakarta, oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengn keputusan berkenaan.

Persidangan atau perbicaraan Pilpres itu bermula 14 Jun hingga 21 Jun lepas di hadapan sembilan hakim MK yang diketuai Anwar, dengan semua pihak berkaitan seperti peguam dan saksi dari pihak Prabowo, KPU dan Badan Pengawas Pemilihan Umum, memberikan keterangan masing-masing.

KPU sebelum ini mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Pilpres 2019 berlangsung 17 April lepas.

Keputusan MK itu adalah muktamad, dan KPU dijadual membuat perisytiharan rasmi kemenangan Jokowi dalam tempoh tiga hari mendatang.

Upacara mengangkat sumpah Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadualkan pada 20 Okt ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.