MELAKA, Sebuah kapal dagang MT Nautica Batu Pahat yang membawa 22 kru dari kalangan warga tempatan dan juga warga pelbagai negara luar, ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika Barat Daya Bandar Hilir di sini, kira-kira pukul 7.00 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sembilan dan Melaka Kapt Maritim Amran Daud berkata siasatan awal mendapati kapal yang berdaftar di Port Klang itu gagal menunjukkan dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Jabatan Laut.
Beliau berkata semua mereka yang berumur antara 27 dan 35 tahun itu ditahan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang sedang melaksanakan rutin operasi harian, selepas kapal yang bersauh di perairan Melaka itu didapati gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh.
“Jika didapati bersalah mereka yang ditahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Amran berkata siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, dan menurutnya penahanan kapal itu merupakan kes kesembilan yang disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pada tahun ini.
Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut supaya menghubungi pusat operasi Maritim dengen menelefon 06-3876730 atau hubungi MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.
Sumber : BERNAMA