Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: AboveWhispers)

Pegawai Tentera Pakai Tudung Kena Tindakan, Cetus Kemarahan Rakyat Afrika Selatan

JOHANNESBURG, 28 Jun (Bernama) — Rakyat Afrika Selatan menyuarakan kemarahan selepas tentera mengenakan tindakan disiplin terhadap seorang pegawai tentera kerana memakai tudung, lapor agensi berita Anadolu.

Mejar Fatima Isaacs, 47, didakwa di mahkamah tentera Cape Town pada Selasa kerana ingkar arahan tidak memakai tudung ketika mengenakan pakaian seragam tentera.

“Kami sudah menulis surat kepada Menteri Pertahanan bagi menyuarakan kegusaran dan bantahan kami terhadap perkara itu. Kami percaya ia tidak berpelembagaan.

“Ia bercanggah dengan semangat dan apa yang tersurat dalam perlembagaan kita,” kata Pengerusi Rangkaian Islam Afrika Selatan (SAMNET) Faisal Suliman pada Khamis.

Suliman berkata, tindakan disiplin terhadap Fatima membantutkan pembangunan masyarakat majmuk di negara itu.

“Kami percaya tudung tidak menjejaskan pakaian seragam atau kemampuan Mejar Fatima atau mengganggu orang lain,” katanya.

Beliau turut menggesa Pasukan Pertahanan Kebangsaan Afrika Selatan (SANDF) membuat pindaan yang perlu terhadap kod pakaian bagi menangani keperluan semua kumpulan kepercayaan.

Fatima bertugas sebagai ahli patologi forensik di sebuah hospital tentera di Cape Town, di mana beliau memakai tudung sejak bertahun-tahun lalu, meskipun menerima arahan menanggalkannya.

Bagaimanapun pada minggu lalu, pegawai itu menerima amaran bertulis terakhir dan diarahkan hadir di mahkamah tentera pada minggu ini.

Ketua Rumah Diraja Mandela turut mengeluarkan kenyataan mengutuk kejadian itu.

“Adalah suatu yang tidak boleh diterima apabila Pasukan Pertahanan Kebangsaan Afrika Selatan menafikan hak pekerja untuk bebas mengamalkan fahamannya dengan memakai tudung,” menurut kenyataan itu.

Malah, Rumah Diraja itu turut menggesa Menteri Pertahanan mengetepikan tindakan disiplin ke atas Fatima dengan menyatakan ia adalah pencabulan serius terhadap hak wanita itu untuk bebas mengamalkan agamanya.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi