Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pencemaran Gas Pasir Gudang: 748 Orang Terima Rawatan, Ujian Saringan Mental Dijalankan

Sehingga 27 Jun 2019, jumlah kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang mencecah 748 orang, 709 daripadanya menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala 39 orang dimasukkan ke dalam wad.

Semalam, sebanyak 4 kes terbaru dilaporkan dan kesemuanya telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Dalam jumlah tersebut, tiada kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

Dalam satu kenyataan rasmi, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata hasil ujian kimia terhadap sampel klinikal pesakit menunjukkan keputusan negatif terhadap hydrogen cyanide, cyanide, hydrogen thiocyanide dan volatile organic substances.

“Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial telah menjalankan saringan kesihatan mental ke atas pesakit yang dirawat di pusat rawatan dan wad,” katanya.

“235 individu terdiri daripada 6 anggota kesihatan dan 229 orang awam termasuk kanak-kanak telah menerima khidmat bantuan awal psikososial (PFA),” tambahnya lagi.

Menurut laporan, seramai 222 orang telah menjalani sesi PFA individu dan 13 orang menyertai PFA kelompok.

Saringan mental

Daripada 235 orang yang diberi PFA, 225 adalah mereka yang dirawat di Ground Command Centre (GCC) di Stadium Tertutup Pasir Gudang dan hanya 10 orang sahaja merupakan pesakit (yang terdiri daripada pelajar) yang dirawat di dalam wad Hospital Sultan Ismail.

Saringan mental telah dijalankan dengan menggunakan soal selidik Depression Anxiety Stress Scales (DASS) ke atas 10 orang pelajar terbabit yang terdiri daripada pelajar 8 buah sekolah berbeza.

Enam daripada mereka yang berusia 10 hingga 17 tahun telah menunjukkan simptom keresahan (anxiety), tiga daripadanya merupakan pelajar yang terlibat ketika insiden Sungai Kim Kim yang lepas.

Seorang daripada mereka mempunyai komorbid (bronchial asthma).

Semua pelajar yang disaring diberikan rawatan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengetahui punca sebenar gejala tersebut.

Berikutan itu, aktiviti intervensi psikologi oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan kaunselor di lima buah sekolah akan dilaksanakan pada Ahad ini.

Bagi mereka yang mengalami simptom loya, sesak nafas, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan diminta untuk menyegerakan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Amira

Love yourself.