Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Polis Buru Empat Lelaki Pecah Rumah Simpanan Abu Mayat, Curi Barang Dan Wang Tabung Derma

Ipoh : Polis sedang menjejaki empat lelaki suspek utama kes pecah rumah, curi wang tabung derma dan barang milik mayat di rumah simpanan abu mayat di Kubur Cina Jalan Kuala Dipang-Kampar, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata kejadian pada kira-kira pukul 7.50 pagi itu dipercayai menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM1,000 melibatkan wang tabung serta barangan milik mayat seperti rokok, jam tangan dan lain-lain.

Hasron berkata kejadian disedari seorang penjaga rumah itu yang juga anggota Persatuan Chinese Temple Kampar yang mendapati pintu besar dalam keadaan terbuka manakala kunci mangga pintu bangunan pagoda turut dipecahkan.

”Lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam bangunan berkenaan dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati kunci mangga dua peti tabung yang mengandungi wang derma telah dipecahkan dan tabung dalam keadaan terbuka.

”Sebanyak 15 pintu peti simpanan abu mayat juga telah dipecahkan. Barang lain yang hilang tidak dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasron berkata perbuatan empat suspek itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil penelitian menunjukkan kesemua suspek masuk ke kawasan bangunan dan memecah kunci ‘grill’ dengan pemotong besi bersaiz besar.

”Setelah berjaya masuk ke dalam bangunan, suspek telah mengambil barang peribadi dalam almari abu mayat dan memecahkan tabung derma yang mengandungi wang bercampur-campur,” katanya.

Hasron berkata bagaimanapun nilai kerugian melibatkan barang peribadi mayat termasuk barangan palsu dan juga tulen tidak dapat dipastikan kerana barang-barang hilang itu adalah hadiah kepada mayat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.