Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Polis Tahan Suspek 11 Kes Samun Di Kuantan

Kuantan : Polis berjaya menyelesaikan 11 kes samun di daerah ini yang menyasarkan rumah atau premis perniagaan dijaga wanita sekitar bulan lepas melibatkan kerugian kira-kira RM10,000, susulan penahanan dua suspek.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata suspek pertama yang berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pemandu ‘e-hailing’, ditahan pada 4.30 petang Isnin lepas di rumahnya di Felda Neram, Kemaman Terengganu.

“Suspek dipercayai terlibat dengan sembilan kes samun bersenjata di kedai pakaian, klinik, kedai runcit, kedai kasut, farmasi dan klinik sekitar daerah ini. Polis juga menemui beberapa barang dipercayai hasil samun di rumah tersebut. 

“Suspek cuba melarikan diri menerusi bahagian belakang rumah semasa menyedari kehadiran polis, namun berjaya diberkas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata suspek kedua yang berusia 20 tahun pula bekerja sebagai pembantu kedai ditahan pada 4.30 petang Isnin, di sebuah rumah di Tanah Putih di sini, dipercayai terlibat dalam dua kes samun di pangsapuri.

Beliau berkata kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan jenayah dan dadah serta pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan samun.

Mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor mengesahkan guru berusia 51 tahun yang didakwa memukul anak muridnya di sebuah sekolah menengah di sini, sudah dipanggil untuk memberi kenyataan selepas mangsa membuat laporan polis pada Rabu.

Katanya, polis juga telah merakam percakapan pelajar lelaki tingkatan empat itu selain telah dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan perubatan dan mereka kini sedang menunggu laporan itu bagi melengkapkan siasatan.

Mohamad Noor berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan guru berkenaan bertindak demikian selepas berlaku pertengkaran yang dikatakan berpunca daripada kerja rumah, selain berlaku pertukaran perkataan tidak sewajarnya antara kedua-dua pihak.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.