Siakap Keli

Ramai Tak Tahu Kalau Lambang ‘Teko Aladdin’Ni Menyala, Tanda Kereta Bakal Kena ‘Check-in’ Bengkel

Kebanyakan orang menggunakan kereta sebagai medium pengangkutan untuk beralih dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Ramai yang memilih untuk memandu kereta di jalan raya supaya dapat mengelakkan daripada keadaan cuaca yang terlalu panas ataupun hujan.

Namun begitu, tidak semua pemandu yang mengetahui sepenuhnya mengenai simbol-simbol penting yang berada di meter kenderaan mereka.

Menerusi satu kiriman di laman Twitter ServisKereta, kepentingan simbol tekanan minyak digambarkan sangat penting dan boleh menyebabkan kerosakan enjin sekiranya diabaikan.

Menerusi kiriman tersebut, lambang yang berbentuk ‘teko aladdin’ perlu diperhatikan oleh setiap pemandu tambahan lagi sekiranya ia menyala. Sekiranya pemandu mengabaikan tanda tersebut, enjin kenderaan boleh mengalami kerosakan ‘major’ iaitu yang menyebabkan kerosakan hampir kesemua bahagian dalam enjin.

Simbol tersebut akan menyala sekiranya minyak pelincir bagi sesebuah kereta itu kehabisan ataupun berkurangan. Kekurangan minyak enjin juga boleh disebabkan terdapat kebocoran yang mengalirkan minyak enjin keluar.

Disebabkan itu, enjin kenderaan akan menjadi lebih kasar sehingga menyebabkan kerosakan yang akan memakan kos yang tinggi untuk dibaiki. Oleh itu, simbol ini tidak boleh dipandang remeh oleh pemandu kerana akan membawa kepada kesan yang agak buruk pada kenderaan anda.

Sekiranya simbol ini menyala ketika anda memandu, dinasihatkan untuk menghentikan kenderaan anda di tempat yang selamat dan juga mematikan enjin. Seterusnya, anda perlu memeriksa paras minyak enjin pada bahagian hadapan kenderaan anda. Sekiranya minyak enjin masih ada dan mencukupi, anda dinasihatkan untuk memandu kenderaan anda ke bengkel berdekatan bagi membuat pemeriksaan yang selanjutnya.

Bagi memastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik, anda dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap simbol ini dan juga simbol-simbol lain yang terdapat pada meter kereta anda. Menerusi langkah tersebut, anda boleh mengelakkan kenderaan anda mengalami kerosakan dan secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan anda.

Sumber: ServisKereta

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa