Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

’11 Pesan Abah’ Untuk Anak Lelaki, Penuh Makna Dan Mendalam

Ayah, abah, bapa, papa, walid dan apa sahaja gelaran untuk seorang lelaki yang berhempas-pulas membanting tulang empat kerat untuk si anak, insan ini layak untuk diangkat ke tempat paling tinggi selepas ibu.

Setiap kata-kata nasihat yang keluar daripada mulut seorang ayah, penuh makna dan mendalam buat pedoman meneruskan hidup. Tiada apa yang diharapkan selain anak-anak yang ditatang berjaya menjadi manusia yang berguna.

Seperti apa yang dikongsikan oleh Cikgu Fadli Salleh tentang ’11 pesan abah’ untuknya sebagai seorang anak lelaki. Penuh dengan nasihat tersirat untuk dikutip terutamanya sebagai bekalan untuk memimpin sebuah keluarga kelak.

11 PESAN ABAH.

1. Dah kahwin ni tak boleh buat macam hidup membujang.

2. Kawan-kawan, teruslah berkawan. Tapi kena kurangkan masa berkawan untuk luang masa bersama keluarga.

3. Jaga anak-anak itu, tanggungjawab bersama. Bukan hanya isteri yang jaga. Tak boleh bantu banyak, bantu sikit.

4. Nafkah itu wajib. Walau isteri gaji besar pada kita, wajib beri nafkah bulanan. Kain baju dia kena beli.

5. Nafkah anak pun wajib juga. Walau isteri kerja, walau dia sendiri mampu sara, kena bagi juga walau secuit buat tampung mana yang lompong. Ni semua Tuhan tanya esok-esok.

6. Isteri kadang-kadang meragam. Membebel. Marah-marah. Jangan ditengking, jangan dimarah sampai bergaduh. Dia bukan sengaja. Dia penat urus semuanya, maka salah sikit pun jadi besar pada matanya. Tak mampu tenangkan, baik diam.

7. Anak-anak meragam pun sama. Jangan dimarah melampau, jangan dipukul sangat. Kadang-kadang mereka mahukan perhatian. Tambah-tambah bila anak makin ramai.

8. Duit gaji isteri jangan pegang. Biarlah, tu gaji dia. Penat dia belajar, penat dia bekerja. Takkan dia nak beli gincu pun minta duit dia dengan kita? Abah tak suka anak-anak pegang duit isteri dan kontrol semuanya. Kalau duit kita tak ada, boleh la pinjam sekali sekala. Tapi bayarlah semula.

9. Kena menyimpan. Sedikit pun tak apa. Duit simpanan ni jangan usik. Anggap macam tiada. Walau terdesak, pinjam dulu duit sesiapa. Dapat gaji terus langsaikan. Duit simpanan sebolehnya jangan usik melainkan dah sampai hajat kita.

10. Bagi duit pada ibu ayah. Mereka bukan nak sangat duit kita. Duit mereka dah banyak. Cuma sebagai tanda penghargaan. Bila lagi kita nak belanja ibu ayah sendiri? Nanti mereka tiada, baru kita terasa kita tak pernah bagi apa-apa.

11. Sedekah jariah kena ada walau sedikit. Hidup kita bukan selamanya. Itulah simpanan sebenar kita. Itulah bekalan yang bakal kita bawa.

Terima kasih abah atas segala pesanan. Akan cuba kuturuti disepanjang perjalanan kehidupan.

Sumber : Mohd Fadli Salleh

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.