Siakap Keli
Gambar : Bernama

30 Pelajar, Guru Dirujuk Ke Klinik Kesihatan Akibat Gangguan Kesihatan Di Pasir Gudang

Johor Bahru : Seramai 30 orang pelajar dan guru daripada 15 buah sekolah di Pasir Gudang dirujuk ke klinik kesihatan berikutan mengalami simptom muntah dan pening-pening pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pada awalnya 130 pelajar yang didapati mengalami gangguan kesihatan berkenaan, tetapi selepas saringan hanya 30 orang termasuk tiga orang guru dirujuk ke Klinik Kesihatan Masai dan Pasir Gudang.

Bagaimanapun menurutnya, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa.

”Hari ini sekolah tidak tutup dan sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa. Cuma dinasihatkan kepada pihak sekolah jika pelajar ada simptom berkenaan segera bawa ke klinik kesihatan.

”Untuk makluman, dari pagi tadi hasil pemeriksaan Pasir Gudang Mutual Aid (Pagema) juga menunjukkan bacaan kualiti udara masih berada pada tahap yang normal,” katanya kepada sumber selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pelajar yang mengalami simptom berkenaan adalah yang  berada di tingkat atas.

”Jadi esok kita akan letakkan mereka di  tingkat bawah sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sebanyak 111 buah sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang mula dibuka semula pada hari ini setelah ditutup semenjak Selasa lepas.

Namun baru beberapa jam sesi persekolahan, gangguan kesihatan itu kembali menghantui beberapa sekolah di kawasan sama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan ketika ditemui awal pagi tadi memaklumkan tiada sesi persekolahan ganti bagi kesemua 111 buah sekolah itu.

Menurutnya, dalam masa sama Jabatan Kesihatan negeri juga akan memberikan Taklimat Keselamatan dan Pencegahan kepada 18 buah sekolah hari ini termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Puteri Resort, SMK Taman Nusa Damai, SK Pasir Gudang Empat dan SK Kopok hari ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.