Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan/Bernama

40,000 Nelayan Dapat Manfaat Elaun Sara Hidup – Salahuddin Ayub

Kuala Lumpur : Kira-kira 40,000 nelayan telah menerima elaun sara hidup (ESH) sejak awal tahun ini susulan proses pemutihan yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menteri berkenaan, Datuk Salahuddin Ayub berkata proses itu bagaimanapun masih berjalan bagi memastikan baki nelayan yang layak mendapat elaun berkenaan.

”Kita dah hampir selesai sebenarnya dan dalam tahun ini kita dah berikan elaun itu kepada kumpulan sasar yang sebenar iaitu lebih kurang 40,000 nelayan,” katanya kepada sumber selepas menyempurnakan pelancaran penjualan sumber laut secara terus dari pusat pendaratan ke pusat jualan terpilih di Sungai Buloh, dekat sini hari ini.

Proses pemutihan terhadap petani dan nelayan itu dilakukan bagi memastikan segala bantuan sara hidup sampai kepada golongan sasar selain mengelak ketirisan dan penyelewengan.

Merujuk kepada majlis hari ini, Salahuddin berkata ia program perintis menerusi Pusat Baharu Pertumbuhan Ekonomi (CEG) yang membolehkan hasil laut dibekalkan terus kepada rakyat tanpa penglibatan orang tengah.

Menteri itu berkata kira-kira 50 CEG disasar dibuka di seluruh negara tahun ini agar rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan harian dengan harga berpatutan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.