Siakap Keli

Apa Beza Susu Sejat, Susu Isian Manis Dan Krimer? Ini Fakta Penting Anda Perlu Tahu Sebelum Kena Potong Kaki

Kebanyakan kita mungkin hanya mampu membezakan beberapa jenis susu antaranya susu pekat, susu segar, susu tepung dan susu cair. Namun, sebenarnya ada beberapa jenis susu lagi yang penting untuk kita tahu bagi mengenalpasti kandungan gula digunakan sekaligus membantu golongan suami untuk membeli susu tin yang betul jika diminta isteri.

Menurut perkongsian daripada Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat enam jenis susu di dalam tin yang perlu kita ketahui iaitu;

1. Susu Sejat Penuh Krim (evaporated full cream milk)
Susu yang telah disejatkan airnya, lebih dikenali sebagai susu cair oleh orang kita.

2. Susu Pekat Manis Penuh Krim (sweetened condensed full cream milk)
Susu yang telah disejatkan airnya menjadi lebih pekat dan ditambah gula. Kebiasaanya ramuan utama bukan susu tapi GULA. Rujuk pada bahan pertama di senarai ramuan.

3. Susu Isian Sejat (evaporated filled milk)
Susu yang telah disejatkan airnya. Lemak dalam susu tu pula telah dikeluarkan dan diganti (atau senang cerita ‘diisi’) dengan minyak tumbuhan.

4. Susu Isian Manis (sweetened filled milk)
Sama seperti susu isian sejat dan ditambah GULA (gula adalah ramuan utama)

5. Krimer Sejat (evaporated creamer)

Gambar hiasan. (Roasty Coffee)

Ianya berasaskan minyak tumbuhan, selalunya minyak sawit yang telah diproses dan dilunturkan menjadi putih  seakan susu. Juga terdapat dalam jenis serbuk (krimer kopi). Banyak digunakan dalam minuman pracampur/3 dalam 1, bubble tea, carrot ‘susu’, masakan, nasi minyak, kuih, dessert dan ABC.

6. Krimer manis (sweetened creamer)
Sama seperti krimer yang berasaskan minyak tumbuhan dan telah ditambah dengan GULA (kandungan gula adalah ramuan utama) dan biasa digunakan dalam minuman panas seperti teh tarik, sirap bandung dan sebagainya di kedai makan. Kalau lagi hipster – krimer yang berperisa (coklat, strawberi, karamel) makan ngan roti.

Biasanya, krimer akan diberi nilai tambah dengan menambah mineral atau vitamin. Kuantiti yang ditambah itu jarang memberi impak baik berbanding GULA yang kita sedia tahu implikasi kesihatan jika diambil secara tidak terkawal.

Selama ini anda gunakan yang mana satu atau hasil yang menggunakan produk yang mana satu?

Kalau dirujuk Piramid Makanan Malaysia, hanya SUSU SEJAT PENUH KRIM (1 sajian = 2/3 cawan susu sejat) yang tergolong dalam kumpulan susu dan produk tenusu. Menurut Akta Makanan 1983 pula, krimer tergolong di bawah kategori bahan pemanis (sweetening substance).

Anda juga boleh membuat krimer sendiri di rumah bagi pilihan yang lebih sihat. (Kredit: Joy Food Sunshine)

Jadi, tak hairanlah bila Malaysia tersenarai dalam statistik negara paling obes dan mendahului carta bilangan pesakit kencing manis yang ramai sebab kerap dan banyak mengambil minuman/ makanan berasaskannya. Bangga? Fikirkan semula, amalkan kesederhanaan!

Nota: Kebiasaannya, susu diimport dalam bentuk pepejal susu dan lemak susu yang kemudiannya diproses/ dicampur semula ke bentuk cecair sebelum dipek untuk dijual (recombined milk). Jadi, pada label ramuan akan dilabel lemak susu, pepejal susu.

Malah, ada krimer sejat/krimer manis yang masih mengandungi pepejal susu, namun kandungannya tidak sebanyak minyak tumbuhan ditambah gula yang menyebabkan produk tersebut tidak memenuhi kriteria perlabelan sebagai susu.

Apa pun, rajinlah baca label dan kenali jenis produk. Label produk mungkin berubah mengikut formulasi terkini.

Rujukan: Akta Makanan 1983

Sumber: Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (Thiru Kanesh, Pakar Nutrisi)

Amira

Love yourself.