Siakap Keli

Berkahwin Boleh Kurangkan Risiko Darah Tinggi, Orang Bujang Lebih Ramai Hipertensi – Kajian

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setiap perkahwinan datang dengan cabaran dan tanggungjawab. Oleh itu, ramai yang berfikir ia sedikit sebanyak mendatangkan tekanan kepada pasangan sehinggakan ada antara pasangan terutamanya di negara barat yang mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan tanpa ikatan perkahwinan.

Menurut Helo Doktor, memetik kajian dalam National Center for Biotechnology Information (NCBI), perkahwinan sebenarnya mampu mengurangkan risiko darah tinggi. Berikut ialah penjelasannya.

Walau bagaimanapun, menurut kajian yang dimuatkan di dalam National Center for Biotechnology Information (NCBI), ia menunjukkan sebaliknya. Kajian yang bertajuk Factors Affecting Hypertension among the Malaysian Elderly ini mengatakan bahawa kes hipertensi lebih tinggi dalam kalangan bujang iaitu 48% manakala 42% dalam kalangan yang sudah berkahwin, dengan sampel lebih 2000 orang.

Bagaimana ia boleh berlaku?

Gambar hiasan. (Kredit: Nikah Explorer)

Jika dilihat dengan teliti, banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kepada dapatan kajian tersebut.

Antaranya adalah orang yang berkahwin mempunyai kadar hormon stres kortisol yang lebih rendah berbanding bujang atau bercerai. Hormon ini, dalam jangka masa panjang, berpotensi meningkatkan tekanan darah. Sokongan sosial yang berlaku antara pasangan mungkin menyumbang kepada keadaan ini.

Selain itu, pasangan berkahwin cenderung mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Tanggungjawab yang bertambah serta peranan sebagai ibu dan bapa menjadikan mereka lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam membuat keputusan sebelum mengambil kira ahli keluarganya.

Contohnya, jika ingin membeli rokok, mereka akan lebih berkira-kira dengan wang yang ingin digunakan serta kesan kesihatan yang mungkin terpalit kepada pasangan dan anak-anaknya. Malah, ada kajian yang menemui bahawa pasangan berkahwin lebih mudah berhenti merokok.

Pasangan berkahwin juga secara amnya lebih sihat berbanding orang lain. Ada beberapa kajian yang menemui bahawa golongan ini lebih berkemungkinan untuk berjaya melawan kanser dan kurang risiko serangan jantung serta strok.

Menariknya, lelaki dilihat lebih banyak mendapat manfaat dalam perkahwinan berbanding wanita. Ini adalah kerana golongan wanita lebih terdedah kepada penganiyaan dan lebih terkesan dengan konflik rumah tangga.

Namun, mungkin juga boleh berlaku di mana bukan perkahwinan yang menggalakkan kesihatan. Sebaliknya, orang yang lebih sihat dan berharta serta berpendidikan cenderung untuk berkahwin.

Itu semua hanyalah fakta dan nombor daripada beberapa dapatan kajian. Setiap orang adalah berbeza dengan pelbagai pengaruh di dalam kehidupan sekelilingnya. Selain sosial dan demografi, banyak lagi faktor-faktor lain yang menyumbang kepada tekanan darah tinggi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.