Siakap Keli
Foto: FB Fadhil Mohamad Isa/Cardock Evoltn

“Dulu Baca Berita, Sekarang Seorang YouTuber Berjaya” Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Pernah Gagal Dalam Hidup

Dalam dunia ini, tiada siapa yang suka mengalami kegagalan kerana ia adalah bukti bagi satu usaha atau prestasi yang tidak mencukupi untuk mencapai sesuatu matlamat.

Tetapi, tiada siapa yang tidak pernah merasai kegagalan dalam hidup. Kegagalanlah yang mengajar kita untuk menjadi lebih baik walaupun ada yang terus mengalah selepas mengalaminya.

Perkara inilah yang dikongsikan oleh bekas pembaca berita TV9, Fadhil Mohd Isa dalam satu video yang dikongsikan oleh laman Maukerja Malaysia di Facebook baru-baru ini.

Dalam video berdurasi hampir lima(5) minit itu, Fadhil telah menceritakan jalan hidup beliau daripada seorang yang pernah gagal semasa di matrikulasi sehinggalah kepada insan yang mampu mencapai pendapatan bulan sehingga lima angka kini.

Foto: FB Cardock Evoltn

Antara perkara yang mencuri tumpuan ialah bagaimana beliau bertukar-tukar kerja, dari pembaca berita, pramugara, pemandu perkhidmatan e-hailing mewah seterusnya menjadi YouTuber pada hari ini.

Menurut Fadhil, orang ramai terutamanya golongan muda pada hari ini tidak sepatutnya takut untuk gagal kerana kegagalan inilah yang akan menjadi mereka insan yang lebih baik di masa akan datang.

Selain itu, beliau juga menggalakkan anak-anak muda untuk mencuba lebih banyak perkara baru bagi menimba sebanyak mungkin pengalaman yang boleh digunapakai di masa akan datang.

Jejaka yang berasal dari Sibu, Sarawak ini pernah bergelar jutawan namun berani untuk mengakui kesilapan diri apabila membelanjakan wang tersebut terlalu awal.

Beliau memberitahu bahawa sepatutnya dia ‘menghasilkan’ lebih banyak wang daripadanya terlebih dahulu sebelum membelanjakannya.

Di akhir video, pemilik channel Youtube Cardock ini turut mengingatkan anak-anak muda dan para graduan untuk tidak terlalu memilih kerja.

Video ini ternyata boleh menjadi motivasi kepada orang ramai di luar sana, terutamanya golongan muda dan remaja. Anda boleh menonton video penuhnya di bawah.

Sumber: Maukerja Malaysia

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi