Siakap Keli

Kajian: Terlebih Kopi Boleh Sebabkan Penyakit Jantung, Ini Bilangan Cawan Kopi Selamat Diambil Setiap Hari

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Aku tak boleh sehari tak minum kopi, mesti terketar-ketar selagi tak dapat. Skrip ini sering didengari keluar dari mulut mereka yang mengambil kopi setiap hari sebagai minuman harian. Disebabkan kebergantungan yang tinggi kepada minuman tersebut, sesetengah peminumnya akan mengalami simptom terketar-ketar jika cuba berhenti secara tiba-tiba.

Berikut merupakan perkongsian dari Helo Doktor mengenai isu ini.

Walaupun kebaikan dan keburukan minum kopi telah dibahaskan selama beberapa dekad, penyelidikan baharu dari University of South Australia menunjukkan bahawa dengan meminum enam atau lebih kopi setiap hari boleh merugikan kesihatan anda dengan meningkatkan risiko penyakit jantung sehingga 22 peratus.

Di Australia, satu daripada enam orang terjejas oleh penyakit kardiovaskular. Ia adalah punca utama kematian dengan satu kematian disebabkan oleh penyakit tersebut dalam setiap 12 minit. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian, namun ia juga adalah salah satu penyakit yang paling mudah dicegah.

Gambar hiasan. (Kredit: Self Help Zone)

Para penyelidik dari University of South Australia, Dr Ang Zhou dan Profesor Elina Hyppönen dari Australian Centre for Precision Health menyatakan bahawa penyelidikan mereka mengesahkan bahawa kafein yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, pendahulu bagi penyakit jantung ketika mereka menyiasat hubungan antara pengambilan kopi dalam jangka masa panjang dan penyakit kardiovaskular.

Menurut Prof Hyppönen, kopi adalah perangsang yang paling banyak digunakan di dunia, ia membuatkan kita terjaga, meningkatkan tenaga kita dan membantu kita untuk fokus – tetapi orang selalu bertanya, sebanyak manakah kaffein yang dianggap sebagai terlalu banyak?

Menurut beliau lagi, kebanyakan individu akan bersetuju bahawa jika anda minum terlalu banyak kopi, anda mungkin berasa gelisah, mudah marah atau mungkin juga mual – ini kerana kafein membantu badan anda untuk bekerja dengan lebih cepat dan lebih kuat, tetapi ia juga mungkin mencadangkan bahawa anda mungkin telah mencapai had anda pada masa ini.

Pasukan penyelidikannya juga mengetahui bahawa risiko penyakit kardiovaskular meningkat seiring dengan tekanan darah tinggi, yang merupakan satu kesan yang diketahui akibat pengambilan kafein yang berlebihan.

Menurut para penyelidik, enam cawan kopi adalah titik kritikal di mana kafein mula memberi kesan buruk kepada risiko kardiovaskular, dan untuk mengekalkan jantung yang sihat dan tekanan darah yang sihat, setiap individu mestilah membataskan pengambilan kopi mereka kepada kurang daripada enam cawan sehari.

Prof Hyppönen mengatakan bahawa, walaupun pembawa variasi gen pemprosesan cepat menjadi empat kali lebih cepat dalam memetabolisme kafein, penyelidikan tidak menyokong kepercayaan bahawa individu-individu ini boleh mengambil lebih banyak kafein dengan selamat dan lebih kerap, tanpa kesan kesihatan yang merugikan.

Dengan mengetahui batasan apa yang baik dan tidak baik untuk anda adalah sangat penting. Sepertimana perkara-perkara lain, ia adalah mengenai kesederhanaan, dan sebarang pengambilan secara berlebihan sememangnya akan memudaratkan kesihatan anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.