Siakap Keli

Kerajaan Sedang Kenal Pasti Individu Bakar Hutan Tanah Gambut – MB Selangor

Pelabuhan Klang : Kerajaan negeri Selangor sedang mengesan individu yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram, di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini Khamis lepas.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pihaknya percaya kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar itu dilakukan oleh penceroboh hutan.

”Buat masa ini, pasukan bomba masih berada di situ untuk memastikan api dipadamkan sepenuhnya. Kita sedang dalam proses mengenal pasti pihak terlibat, selain melihat sekiranya terdapat penglibatan orang asing yang meneroka kawasan tanah gambut itu.

”Api sukar dipadamkan kerana kawasan ini merupakan tanah gambut yang menyebabkan ia cepat merebak, selain faktor cuaca agak panas menyukarkan proses pemadaman sepenuhnya,” katanya kepada sumber selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Parlimen Klang dan Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago.

Kata Amirudin lagi, pihaknya kini sedang menunggu laporan sepenuhnya berkaitan kebakaran itu daripada Jawatankuasa Bencana di peringkat negeri.

”Laporan berhubung kebakaran akan diperolehi dalam masa terdekat, berserta dengan maklumat pemilik tanah berkenaan, tetapi melalui maklumat awal terdapat ramai pemilik, tetapi kita akan menyiasatnya,” katanya.

Kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, yang masuk hari keempat hari ini, telah memusnahkan kira-kira 1.2 hektar.

Sehingga kini, hanya lebih 40 peratus kawasan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah haram itu berjaya dipadamkan, berikutan timbunan sampah yang sangat dalam iaitu sekitar 2.4 meter dan berada di kawasan paya bakau.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.