Siakap Keli
Gambar : Google

Mengapa Serangan Jantung Kerap Berlaku Pada Waktu Pagi?

Pelbagi kes berlaku melibatkan serangan jantung yang sering terjadi secara tiba-tiba hingga mengakibatkan kematian. Ianya berlaku pada bila-bila masa sahaja, termasuklah pada waktu pagi. Malah menurut kajian, kebanyakan peristiwa serangan jantung berlaku pada pagi hari.

Serangan jantung  yang berlaku pada waktu pagi ini dikatakan lebih berbahaya. Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal kardiologi, serangan jantung yang berlaku pada waktu pagi dikaitkan dengan sekitar 20% lebih banyak kematian tisu jantung berbanding pada waktu lain.

Apa faktor yang membuatkan serangan jantung lebih kerap terjadi pada waktu pagi? Ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Pembentukan darah beku

Pada awal pagi, tahap PAI-1 meningkat. Protein ini menghalang tubuh anda daripada memecahkan bekuan darah, penyumbang utama serangan jantung dan strok.

Semasa waktu pagi, platelet darah juga lebih pekat dan peningkatan adrenalin yang dikeluarkan dari kelenjar adrenal boleh menyebabkan plak pada arteri koronari pecah. Badan anda juga mengalami peningkatan semula jadi kortisol, menambahkan beban pada jantung.

Denyutan jantung tak teratur

Dalam kajian yang melibatkan tikus, kadar denyutan jantung  didapati perlahan dan kurang teratur pada waktu pagi. Denyutan jantung yang kurang teratur menyebabkan jantung tidak dapat mengepam darah secara efisien.

Beban kerja jantung

Sewaktu anda bangun pada awal pagi, badan dan jantung anda memerlukan lebih banyak bekalan oksigen untuk menggerakkan sistem kardiovaskular yang kurang bekerja sewaktu anda tidur. Selain itu, lebih banyak tenaga diperlukan untuk melakukan aktiviti lain.

Hormon tekanan

Walaupun ia sering dianggap bahawa waktu pagi berkait dengan tekanan kerja, kajian mendapati ia lebih terkait dengan aturan biologi hormon yang lebih tinggi di waktu pagi. Pelepasan hormon stres seperti Catecholamines adalah penting dalam tindak balas kepada tekanan. Tahap yang tinggi menyebabkan tekanan darah tinggi yang boleh mengakibatkan sakit kepala, berpeluh, jantung berdegup laju, sakit dada, dan kebimbangan.

Tekanan sewaktu membuang air

Serangan jantung yang berlaku semasa membuang air adalah kesan menggunakan postur duduk sewaktu membuang air besar. Daya yang diperlukan untuk mengosongkan perut dalam kedudukan duduk menyebabkan ketegangan berlebihan yang boleh menjejaskan sistem kardiovaskular. Disebabkan itu, banyak kes serangan jantung berlaku di bilik mandi.

Oleh itu, serangan jantung pada waktu pagi lebih terkait dengan sebab biologi berbanding tabiat harian anda. Ketahui simptom serangan jantung dan pertolongan cemas yang perlu anda berikan kepada mereka yang menghadapinya.

Sumber : Helma Hassan/Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.