Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Patut Atau Tidak Anda Beri Peluang Kedua Kepada Pasangan Yang Curang?

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Siapa sahaja di dunia ini pastinya menginginkan hubungan yang dibina bersama pasangan kekal hingga ke akhir hayat. Namun, siapalah kita untuk menolak takdir Tuhan andai hubungan yang diharapkan berkekalan kecundang di tengah jalan. Salah satu penyebabnya adalah kerana kehadiran orang ketiga.

Puas sudah menangis dan meratap, bayangkan pasangan anda yang curang ingin kembali semula bersama secebis kemaafan? Sukarnya membuat pilihan adakah memilih meneruskan hidup atau membuka ruang maaf demi peluang kedua yang diharapkan oleh pasangan anda.

Bertenang, jom ikuti perkongsian kami seperti di bawah. Beberapa pertimbangan perlu anda fikirkan dan beberapa sebab perlu anda semak mengapa peluang kedua tidak boleh diberikan sama sekali. Semoga bermanfaat untuk hati-hati yang sedang dilanda kemelut ini.

Barangkali anda tidak pernah menyangka perkahwinan anda akan sampai kepada tahap ini.

Bila anda perlu membuat keputusan paling sukar dalam hidup, sama ada untuk memberikan peluang kedua kepada pasangan yang curang. Siapa sangka pasangan yang anda cintai tergamak berbohong, memanipulasi, memperbodohkan anda dan cuba menutup perkara tersebut.

Kecurangan kepada pasangan bukan bererti hubungan seksual sahaja, membina hubungan emosi dan melaburkan masa dengan orang lain juga merupakan kecurangan yang pasti menyesakkan dada siapa sahaja. 

Tetapi, bagaimana jika pasangan anda benar-benar menyesal dengan kecurangannya. Bahkan berjanji untuk kembali setia, dan jauh di sudut hati, anda masih mencintainya?

Walaupun perit untuk memaafkannya dan melupakan setiap luka dalam hati anda disebabkan episod hitam ini, anda sendiri mungkin masih tertanya, patutkah anda memberikan peluang kedua kepadanya? Setelah luka sembuh dan anda mampu memaafkannya, patutkah cinta disemai kembali?

Tiada siapa yang dapat memberikan jawapannya melainkan diri anda sendiri. Hanya anda yang tahu apa yang anda telah lalui dan apa yang anda sanggup untuk lalui dan perjuangkan selepas ini.

Dalam menimbang keputusan yang berat ini, berikut adalah lima sebab anda TIDAK patut memberikan peluang kedua kepada pasangan yang curang:

1) Kecurangan berlaku dengan bekas kekasih

2) Hubungan tersebut serius dan berlaku dalam tempoh masa yang lama

3) Pasangan anda tidak menunjukkan penyesalan atau tidak meminta maaf

4) Kecurangan tersebut berlaku seawal hubungan anda dan pasangan

5) Kecurangan tersebut berulang atau merupakan tingkah laku kerap pasangan

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk memberi pasangan anda peluang kedua, berikut adalah beberapa soalan penting untuk anda tanyakan kepada diri sendiri:

1) Adakah ini kali pertama pasangan anda berlaku curang?

2) Adakah pasangan anda memahami kekecewaan yang anda alami?

3) Adakah pasangan anda mengenal pasti kecurangan tersebut sebagai masalah?

4) Adakah pasangan anda menerima kesalahannya kerana tidak setia?

5) Walau apa pun alasannya curang, adakah pasangan anda mengakui bahawa dia perlu berubah?

6) Adakah pasangan anda meminta maaf?

7) Adakah anda percaya pasangan anda benar-benar menyesal kerana tidak setia?

8) Adakah pasangan anda akan menghadiri kaunseling perkahwinan dan individu?

9) Adakah pasangan anda benar-benar telah memutuskan hubungan sulit tersebut?

10) Jika orang itu adalah rakan sekerja pasangan anda, adakah anda telah berbincang bagaimana pasangan anda boleh mengekalkan hubungan sebagai rakan sekerja sahaja?

11) Adakah anda fikir anda dan pasangan anda boleh mempunyai perkahwinan yang berjaya, gembira dan berkekalan?

12) Adakah anda fikir anda boleh mempercayai pasangan anda lagi?

13) Adakah anda fikir perkahwinan anda berbaloi untuk diselamatkan? Jika ya, mengapa?

14) Adakah kecurangan pasangan anda ini akan menghantui minda dan hati anda?

15) Bolehkah anda memaafkan pasangan anda?

16) Adakah kalian bersedia untuk berusaha membina semula perkahwinan ini dan belajar bagaimana untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul dan berkomunikasi dengan efektif?

Sekiranya anda memutuskan untuk memberi pasangan anda peluang kedua, pastikan pasangan anda mengetahui bahawa peluang ini hanya sekali. HANYA sekali.

Anda tidak akan memaafkannya berulang kali. Katakan dengan jelas bahawa tidak akan ada lagi peluang lain. Adalah penting untuk anda menekankan bahawa kemaafan dan peluang kedua ini bukanlah penerimaan atas kecurangannya.

Tiada siapa yang dapat memutuskan apa yang perlu dilakukan dalam keadaan ini. Tidak mudah untuk meninggalkan pasangan atau memecahkan keluarga yang anda miliki.

Anda boleh membina semula perkahwinan anda dengan bantuan yang betul. Panduan profesional dan buku atau sumber dalam talian boleh membantu anda menentukan hala tuju rumah tangga anda.

Hidup bersendirian atau berdua bukanlah ukuran kebahagiaan. Anda lebih tahu apa yang membahagiakan anda. Apa pun pilihan anda, sama ada berpisah atau kekal bersama, semoga anda dapat mengecap kebahagian lagi!

Sumber : Helma Hassan/Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di