Siakap Keli

Pemerkasaan OKU Tanggungjawab Bersama Institusi Kerajaan Dan Swasta

BUTTERWORTH – Institusi-institusi kerajaan mahupun swasta mempunyai tanggungjawab dalam usaha memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan itu.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P. Ramasamy berkata golongan OKU boleh dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah produktiviti kerja dengan cara yang unik dan tidak ada pada pekerja biasa.

“Dasar kerajaan telah menetapkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada pengambilan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Awam adalah daripada golongan OKU.

“Persoalan adalah bagaimanakah penjawatan golongan OKU di sektor swasta dapat dipertingkatkan Sektor swasta boleh memperolehi maklumat pencari kerja OKU dari Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ,” katanya berucap merasmikan Ekspo Kerjaya OKU 2019 anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata maklum balas yang diperoleh daripada sebilangan syarikat dan organisasi yang telah menjawat golongan OKU mendapati bahawa mereka adalah individu yang rajin, bertanggungjawab dan kurang mengambil cuti.

Ramasamy berkata masyarakat juga perlu menghakis pandangan (negatif) terhadap keupayaan golongan OKU.

Tambahnya, Revolusi Industri 4.0 akan membawa cabaran-cabaran yang baharu kepada usaha pembangunan modal insan secara keseluruhanya maka warga OKU tidak seharusnya ketinggalan dalam bidang tersebut.

Ekspo Kerjaya OKU 2019 anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Penexpo Events Sdn Bhd itu berlangsung selama dua hari bermula semalam. Penganjuran ekspo pada kali ketiga itu turut menggabungkan Ekso Kerjaya, Pasca Siswazah dan Perniagaan Francais Pulau Pinang 2019.

Sebanyak 60 buah institusi pendidikan dan kerjaya menyertai ekspo itu untuk memudahkan proses temuduga, tawaran pekerjaan serta tawaran melanjutkan pelajaran kepada orang ramai yang hadir.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.