Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pesara Guru Rugi RM197,00 Ditipu Sindiket ‘Parcel Scam’

Alor Setar : Seorang wanita yang juga pesara guru berusia 58 tahun kerugian RM197,000 selepas dipercayai terpedaya sindiket ‘Parcel Scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai warga Ukraine yang dikenalinya menerusi laman sosial, April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah Supt Annuar Amri Abd Muluf berkata wanita yang berasal dari Pendang, sebelum itu mendapat panggilan daripada individu terbabit yang mendakwa dirinya telah ditahan oleh pihak kastam.

“Individu yang dikenali sejak bulan Februari lalu telah menghubungi mangsa dan memaklumkan bahawa dia telah ditahan oleh pihak kastam atas kesalahan membawa wang tunai USD (dolar Amerika). Mangsa kemudian telah menerima panggilan dari seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai kastam.

Wanita terbabit memberitahu mangsa bahawa individu yang dikenalinya itu akan ditahan dan mangsa perlu membayar RM77,000 untuk membebaskan individu terbabit. Mangsa telah membuat transaksi wang ke dalam akaun bank milik seorang wanita Melayu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Annuar Amri berkata selepas dibebaskan pihak kastam, individu terbabit berjanji untuk membayar semula wang mangsa serta meminta mangsa meminjamkan akaun banknya bagi tujuan ingin memasukkan wang berjumlah RM2 juta untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

Annuar Amri berkata mangsa kemudian menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank dari Pulau Pinang yang memaklumkan terdapat transaksi wang hendak dibuat ke dalam akaunnya sebelum diminta membayar cukai antarabangsa berjumlah RM40,000 ke dalam akaun bank syarikat individu dikenalinya itu.

“Mangsa kemudian telah dimaklumkan pegawai bank bahawa mempunyai tunggakan rumah dan perlu membuat bayaran berjumlah RM75,000 ke akaun bank individu yang lain sebelum RM2 juta tersebut boleh dipindahkan ke akaun mangsa.

“Bagaimanapun, selepas membuat kesemua bayaran, pegawai bank berkenaan memberitahu tempoh pembayaran telah tamat dan RM2 juta juga tidak dapat dikreditkan ke akaun mangsa. Bagi mendapatkan semula wang tersebut, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM5,000 pula melalui kaunter perkhidmatan bank,” katanya.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila anaknya telah mendapat tahu mangsa telah mengeluarkan kesemua wang simpanan persaraannya sebelum membuat laporan polis semalam.

“Kita percaya mangsa telah diperdaya oleh sindiket yang didalangi warga Afrika dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 35 kes penipuan dengan jumlah kerugian melebihi RM725,921 telah dilaporkan di Kedah,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.