Kita semua pasti pernah mendengar seseorang mengatakan dia tidak pernah ‘berkira’ jika melibatkan makanan. Mintanya untuk fikirkan semula kenyataan itu.
Ini kerana sebuah restoren di New York, The Ainsworth menawarkan menu kepak ayam bersalut emas 24 karat dengan harga $1,000 atau lebih kurang RM4,133.
Mengejutkan bukan? Perkara ini telah dikongsikan oleh akaun Twitter @InsiderFood baru-baru ini dan menyebabkan kami tertanya-tanya apa yang menyebabkan ia dijual pada harga yang sebegitu mahal.
These $1,000 wings are worth every penny 🤤 pic.twitter.com/dmdIZN3XwI
— FOOD INSIDER (@InsiderFood) June 28, 2019
Selepas melakukan beberapa tinjauan secara atas talian, kami mendapati ia bukanlah harga kepak dan peha ayam bersalut emas semata-mata. Ia sebenarnya beserta dengan satu botol champagne berjenama mewah Armand de Brignac.

Pelanggan boleh memesan kepak ayam bersalut emas itu dengan harga yang lebih berpatutan melalui set-set lain seperti 10 kepak untuk $30(~RM124), 20 kepak berharga $60(~RM248) dan menu paling premium, 50 kepak bersalut emas bersama sebotol champagne Armand de Brignac pada harga $1000.

Tidak dapat dipastikan berapakah harga sebotol champagne berkenaan namun berdasarkan tinjauan kami, champagne berjenama Armand de Brignac boleh mencapai harga sehingga puluhan ribu ringgit.
Kalau korang jutawan, rasanya korang beli tak ayam bersalut emas ni? Kongsikan bersama kami di ruangan komen nanti ya.
Sumber: @InsiderFood, HypeBeast