Siakap Keli
Gambar Hiasan

Drama Melayu, Tolong Henti Didik Masyarakat Cerai Luar Mahkamah – Peguam

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sudah jadi kebiasaan, semua manusia mahukan kehidupan yang sempuarna, punyai segala. Tidak salah untuk bermimpi dan punyai impian kerana dari situlah mulanya harapan untuk capai kejayaan.

Oleh itu, pasti sesiapa pun akan teruja saat menonton filem mahupun drama di televisyen. Manakan tidak, segalanya kelihatan begitu mempersona, hero punyai kehidupan yang mewah, heroin berupa paras menawan dan diselitkan dengan konflik percintaan, rumahtangga serta suka duka kehidupan.

Namun semestinya ada yang sedar bahawa ‘hakikat perjalanan’ bukan begitu mudah. Terpanggil untuk menjelaskan realiti sebenar, seorang Peguam Syariah, Khairul Fahmi telah memuatnaik hantaran di laman Facebooknya mengenai isu ini. Menurut Khairul:

DRAMA MELAYU, STOP DIDIK MASYARAKAT CERAI LUAR MAHKAMAH

Sedang saya dok jamah dinner saya kat area Shah Alam ni di sebuah kedai makan, saya terlihat sebuah drama di televisyen.

Cerita ni saya rasa ramai yang follow. Saya tak nak ulas tentang drama tu. Cuma, saya nak beri teguran ikhlas untuk penulis skrip Drama dan Pengarah Drama la kot.

Ada satu babak di dalam drama tersebut dimana watak lelaki demi mahu lihat si heroin bahagia, lalu dia membawa heroin dan serahkan pada jejaka lain. Yang saya cukup tak berkenan babak ni adalah, Lafaz Cerai tu berlaku di tepi pantai sahaja.

Gambar Hiasan

Saya rasa ini bukan drama pertama dan bukan juga kali pertama kita disajikan dengan tontonan media khususnya drama Melayu yang sering buat cerita Suami lafaz cerai Isteri di tempat selain dihadapan Hakim dan di dalam Mahkamah.

Persoalaannya : Adakah sah lafaz talak tersebut?

Lafaz talak tersebut mungkin sah disisi Syarak kalau cukup rukunnya. Tetapi, talak bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main dan mudah-mudah untuk dilafazkan oleh suami walaupun dibenarkan di dalam Syarak.

Adakah menjadi satu kesalahan?

Ya, semestinya ia satu kesalahan di bawah seksyen 125 Enakmen Keluarga Islam Kedah iaitu:

“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.” Ramai lelaki yang tak tahu hal ini. Dan kemudian terkejut bila dapat Saman daripada Jabatan Pendakwa Syarie Negeri untuk hadir bagi satu kes jenayah yang telah dilakukan. Mau tak mau, kena mengaku la sebab dah memang berlaku diluar mahkamah dan selalu denda ratus-ratus gak la.

Apa yang perlu dibuat kalau dah terlafaz cerai diluar Mahkamah?

Suami atau isteri mestilah di dalam tempoh 7 hari daripada tarikh lafaz cerai tersebut berlaku membuat satu saman pengesahan lafaz cerai luar mahkamah dan difailkan untuk membuat pengesahan dihadapan hakim syarie mengikut seksyen 57(1) Enakmen Keluarga Islam Kedah.

Kalau lambat pada hemat saya, ia mungkin jadi satu kesalahan di bawah seksyen 126(1) iaitu tidak membuat laporan yang sepatutnya dan boleh didenda tidak lebih rm1000 atau 6 bulan penjara. Tapi, jarang berlaku pendakwaan kes ini. Saya tak tahu, ini kuasa pihak pendakwa untuk mendakwa. Tapi, selalunya kalau lambat daftar untuk buat pengesahan cerai, memang akan menyebabkan Hakim tak suka ler.

 Apa kesan lain kalau berlaku cerai diluar Mahkamah?

Nilai Nafkah Eddah, Nafkah Tunggak & Mutaah

Mungkin ada yang cerai tersebut disebabkan dakwaan mereka isteri telah berlaku curang atau berlaku nusyuz tapi tak mendapatkan perintah nusyuz daripada Mahkamah terlebih dahulu. Akibatnya, ramai lelaki yang terkejut bila dah disahkan cerai, bekas isteri tersebut boleh tuntut Nafkah Eddah dan Nafkah Tertunggak. Walaupun, nusyuz mungkin tak gugurkan Mutaah, tetapi jika isteri dibuktikan nusyuz, mungkin dapat kurangkan jumlah tuntutan Mutaah tersebut.

Undang-undang Syariah jadi undang-undang rimba

Bila banyak orang anggap cerai boleh saja dilakukan diluar Mahkamah, jadi undang-undang ini akan diabaikan dan boleh dibuat main-main. Tambah-tambah, jumlah dendanya pun bagi sesetengah orang, jumlahnya tu celah gigi jer nak bayar.

Gambar Hiasan

Sukarkan isteri

Banyak keadaan, lafaz cerai berlaku di dalam rumah dan tak ada orang lain yang dengar melainkan isteri. Jadi, bila isteri buat pengesahan di Mahkamah, ada suami yang sengaja bersumpah nafi walaupun benar. Ada juga yang tidak hadir. Ada juga isteri yang tak ingat waktu dan bentuk lafaz. Akhirnya yang jadi mangsa bukan takat isteri, mungkin Hakim sekali pening nak putuskan.

Jadi, bagaimana proses yang sebenar?

Sekiranya jodoh tak panjang, walau marah macam mana sekalipun, jadi gentle. Pergi ke Mahkamah dan cakap nak failkan Permohonan Cerai cara baik bawah seksyen 47. Sekarang ni, kat Mahkamah dah ada fast track. Just isi ja maklumat di komputer. Kalau rasa macam nak lantik peguam pun tak ada masalah. Atas kehendak dan keperluan masing-masing. Tak paksa pun. Nanti datang jer ikut tarikh yang Mahkamah bagi. Settle.

Jadi, saya mohon sangat-sangat, isu ini diambil berat. Drama Melayu ni ramai yang tengok. Banyak masyarakat akan mudah ikut apa yang ada kat tv dan media. Jadi, please..statistik perceraian kini kian meningkat khususnya dikalangan orang muda. Jangan disebabkan hal ini, anda menjadi Agen kepada pendorong kearah peningkatan statistik ini.

Saya mintak kita sebarkan perkongsian ini sehingga sampai ke mata peminat, penulis skrip, pengarah dan penerbit drama khususnya tentang apa yang saya nak sampaikan ini demi mendidik masyarakat yang lebih bertamadun.

Sumber : Khairul Fahmi 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.