Siakap Keli
Gambar Hiasan

Penumpang Feri Dikhuatiri Lemas Terjatuh Ke Dalam Laut

GEORGE TOWN, Seorang penumpang feri dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika dalam perjalanan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth menghala ke Pangkalan Raja Tun Uda, George Town, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya menerima aduan terdapat seorang penumpang yang berada di atas Feri Pulau Pinang dipercayai telah terjatuh kira-kira jam 6.15 petang.

“Seorang penumpang lelaki telah melihat mangsa terjatuh namun tidak dapat dipastikan jantina serta identiti penumpang tersebut dan ketika itu jarak feri berkenaan  lebih kurang 10 minit dari arah Butterworth,” katanya di sini malam ini.

Katanya, pemeriksaan oleh petugas feri di bahagian bawah dek feri telah mendapati terdapat sebuah kereta jenis Honda City ditinggalkan tanpa pemandu atau penumpang dan kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang wanita, Lye Ah Yin, 73, beralamat di Permatang Pauh.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh polis marin, bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijalankan hingga jam 8 malam ini sebelum dihentikan berikutan cuaca gelap dan akan bersambung semula jam 8 pagi esok.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang