Siakap Keli
Gambar Hiasan

Undang Luak Jelebu Mahu Kedudukan Undang-Undang Di Negeri Sembilan Lebih Diiktiraf

KUALA LUMPUR – Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad mahu kedudukan undang di Negeri Sembilan lebih diiktiraf seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri itu dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata undang merupakan pembesar memerintah bagi Negeri Sembilan yang memerintah negeri itu bersama Yang Dipertuan Besar, Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Tampin.

Antara tanggungjawab undang adalah sebagai ketua agama di luak (daerah) masing-masing yang merangkumi urusan berkaitan jabatan agama, pejabat agama, masjid dan surau.

Bagaimanapun, Maarof berkata kedudukan undang sekarang ini adalah berbeza daripada yang ditetapkan iaitu jatuh daripada kedudukan kehormat keempat kepada kedudukan ke-12.

“Saya ada buat kajian kenapa kedudukan ini diubah sewenangnya…seolah-olah kami dengan empat beradik (undang) yang lain berada jauh, iaitu di bawah sekali.

“Undang Luak Jelebu, Sungai Ujong, Johol, Rembau dan Tunku Besar Tampin bukan boleh diambil sewenang-wenangnya. Kami berketurunan, bukan boleh dilantik sesiapa sahaja sewenangnya. Jadi, letaklah kami (kedudukan undang) ke tempat yang paling sesuai, kami bukan nak disanjung, cuma letaklah di tempat asal,” katanya.

Maarof berkata demikian ketika menjadi tetamu program temu bual Ruang Bicara Khas terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama.

Beliau berkata isu mengenai kedudukan undang itu telah dibangkitkan ke Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang merupakan dewan tertinggi mengenai adat di negeri itu.

“Kami empat beradik (undang) akan memastikan kedudukan ini akan dapat kami capai. Kami akan berunding seeloknya dan akan bawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.