Siakap Keli
Foto: Tacoma News Tribune/Toronto Star

Argentina Tewas Kepada Brazil, Messi Gagal Lagi Untuk Menangi Piala Tanpa Barcelona

Siapa yang tidak kenal dengan Lionel Messi, pemain bola sepak yang sering diakui sebagai Greatest of All Time(GOAT) atau Terbaik Sepanjang Zaman oleh peminat, pemerhati serta para pemain bola sepak sendiri, termasuklah beberapa pemain lagenda.

Namun, bintang kelab Barcelona itu nampaknya masih belum mampu untuk menghadiahkan sesuatu yang berharga buat pasukan kebangsaannya, Argentina.

Pada pagi tadi(3 Julai), Argentina telah tewas kepada seteru utamanya di benua Amerika, Brazil dengan jaringan 2-0. Gol-gol Brazil dijaringkan oleh dua penyerang yang bermain di EPL, Gabriel Jesus(Man City) dan Roberto Firmino(Liverpool).

Foto: NewsGroove UK

Kedua-dua pasukan dilihat saling mengasak sejak sepak mula dan pemain PSG, Leandro Paredes hampir meletakkan Argentina di depan pada minit ke-12, namun rembatannya melepasi gawang gol yang dikawal oleh penjaga gol Liverpool, Allison Becker.

Enam minit selepas itu, Brazil di hadapan hasil jaringan Gabriel Jesus yang menyudahkan hantaran Firmino selepas gerakan cantik Daniel Alves.

Argentina nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-31 tetapi tandukan Sergio Aguero hasil sepakan percuma Messi sekadar menggegar palang.

Bersambung babak kedua, Allison sekali lagi menjadi wira apabila menyelamatkan rembatan padu Messi pada minit ke-57. Di sebalik serangan demi serangan dari Argentina, Brazil yang berjaya menambah jaringan pada minit ke-70.

Grabiel Jesus ‘membalas jasa’ Firmino apabila membuat bantuan gol bagi rakannya itu bagi mengukuhkan kedudukan Brazil sebagai finalis kejohanan tahun ini.

Tamat permainan, Brazil layak ke final dengan jaringan 2-0 dan akan bertemu sama ada Chile atau Peru yang bakal beraksi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, 8.30 pagi esok waktu Malaysia.

Kekalahan ini bermakna Messi gagal menghadiahkan piala buat Argentina serta gagal memenangi sebarang piala tanpa kelabnya, Barcelona.

Untuk berlaku adil, Messi pernah memenangi Piala Dunia peringkat umur bawah 20 tahun serta dua pingat emas Olimpik iaitu pada tahun 2004 dan 2008.

Foto: ABS-CBN Sports

Ia berbeza dengan seteru utamanya, Cristiano Ronaldo yang kini mewakili kelab Juventus. Pemain berusia 34 tahun itu sudah memenangi dua kejohanan utama bersama negaranya, Portugal iaitu Kejohanan Eropah 2016 dan yang terbaru, Nations League pada bulan lepas.

Walaubagaimanapun, kita sebagai peminat bola sepak perlu menikmati aksi dua pemain hebat ini selagi mereka mampu beraksi kerana dijangka amat sukar untuk melihat pemain hebat seperti mereka lagi selepas ini.

Sumber: Yahoo! Sport, Bleacher Report

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi