Siakap Keli
Gambar menunjukkan submarin berkuasa nuklear Rusia di perairan berhampiran kilang Sevmash di utara Arkhangelsk. (Gambar: AFP)

Kapal Selam Tentera Rusia Terbakar, 14 Kru Maut

Moscow- 14 orang anak kapal maut kelemasan akibat asap tebal dalam satu kebakaran melibatkan sebuah kapal selam tentera Rusia pada Selasa.

Kerajaan Rusia tidak menyatakan samada kapal tersebut bergantung kepada tenaga nuklear yang menimbulkan kekhuatiran sekiranya berlaku kebocoran radiasi.

Walaubagaimanapun, memetik sumber ketenteraan, beberapa media tempatan melaporkan kapal tersebut menggunakan tenaga nuklear untuk berfungsi.

Setelah tragedi tersebut berlaku, Pihak Berkuasa Keselamatan Sinaran dan Radiasi Nuklear di Norway berkata, mereka telah melakukan pemeriksaan bagi mengesan unsur radiasi, namun tiada perkara luar biasa berlaku.

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, kebakaran berlaku ketika kapal tersebut sedang menjalankan ujian pada Isnin lalu.

Kapal selam Kursk setelah 17 tahun tragedi berlaku. (Gambar: Front News International)

“Api tersebut berjaya dipadamkan dengan pengorbanan kru kapal,” kata jurucakap kementerian berkenaan.

Kementerian tersebut berkata, submarin laut dalam itu bertujuan untuk mengkaji permukaan dasar laut. Namun, beberapa media tempatan mengesyaki kapal tersebut digunakan untuk tujuan pengintipan berdasarkan kematian melibatkan identiti mangsa maut yang terdiri daripada tujuh kapten dan dua daripadanya menerima penghormatan ketenteraan tertinggi.

Kapal tersebut berada di pelabuhan Severomorsk, pangkalan utama Armada Utara Rusia.

Tragedi ini serupa dengan kemalangan melibatkan submarin Rusia pada 2008 yang membunuh 20 orang dan letupan submarin Kursk berkuasa nuklear di Laut Barents yang membunuh 118 kru kapal pada tahun 2000.

Dalam tragedi Kursk, tentera laut didakwa terlewat mengesan graviti kecemasan, skala kehilangan nyawa dan ancaman alam sekitar. Kapal seberat 18,000 tan itu akhirnya berjaya diangkat setahun kemudian kerana dikhuatiri mengancam persekitaran.

Sumber: The New York Times, The Guardian

Amira

Love yourself.