Siakap Keli

Kebanyakkan Negara Anjur Piala Dunia FIFA Alami Kerugian, Mampukah Malaysia? – Laporan

Piala Dunia FIFA merupakan satu kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa yang mana banyak negara mengimpikan untuk menganjurkannya dan menjadi tuan rumah. Perkara ini kerana kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali ini dianggap dapat meningkatkan ekonomi negara serta menambah pendapatan negara.

Namun, sejauh manakah kebenaran kenyataan tersebut? Ini kerana negara-negara sebelum ini yang pernah menjadi tuan rumah mengalami kerugian dalam jumlah yang besar.

Ramai menganggap bahawa menjadi tuan rumah bagi penganjuran Piala Dunia FIFA dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan juga keuntungan terutamanya dalam bidang pelancongan. Namun, menurut seorang ahli ekonomi sukan, Dennis Coates menerusi kertas kerjanya, kebanyakan negara sebelum ini mengalami kerugian setelah menganjurkan kejohanan ini.

Amerika Syarikat dilaporkan telah mengalami kerugian sebanyak $ 9.6 bilion sepanjang kejohanan itu yang berlangsung pada tahun 1994. Namun, walaupun negara Jerman yang menganjurkan kejohanan itu pada tahun 2006 tidak mengalami kerugian, mereka masih tidak dapat mengaut keuntungan kerana hanya meraih pulang modal setelah berakhirnya kejohanan itu.

Gambar: Youtube

Begitu juga bagi negara Afrika Selatan yang menjadi tuan rumah pada tahun 2010, mereka telah membelanjakan sejumlah wang yang besar kira-kira $ 3.9 billion hanya untuk membangunkan atau menambah baik fasiliti yang digunakan sepanjang kejohanan itu.

Realitinya, penganjuran Piala Dunia yang berjaya dan dapat mengaut keuntungan berlipat ganda hanya berlaku kepada negara-negara yang sudah maju kehadapan dan amat malang bagi negara-negara kecil yang sedang membangun seperti Afrika Selatan yang sukar untuk mengaut keuntungan. Perkara ini kerana mereka memerlukan modal yang besar bagi melengkapkan segala keperluan kejohanan seperti fasiliti-fasiliti sukan terutamanya.

Gambar: ARYsport.tv

Berdasarkan rekod-rekod kerugian yang dialami oleh beberapa negara seperti yang dinyatakan, pengajuran Piala Dunia FIFA tidak semestinya akan mencatatkan keuntungan kepada sesebuah negara sekiranya menjadi tuan rumah. Oleh itu, rata-rata negara perlu menerima secara fakta bahawa tiada jaminan bahawa ekonomi sesebuah negara akan meningkat sekiranya menganjurkan kejohanan ini.

Tambah kajian tersebut, kebanyakan negara yang sanggup menghabiskan begitu banyak dana bagi pengajuran piala dunia adalah lebih terarah kepada sudut emosi dan psikologi dan bukan lagi dalam sudut ekonomi. Sesebuah negara pastinya akan dipandang tinggi oleh negara lain sekiranya dapat membuat penganjuran yang hebat kerana kejohanan tersebut dianjurkan empat tahun sekali.

Baru-baru ini, negara Asia seperti Malaysia menyatakan hasrat bersama ASEAN bagi membida hak penganjuran kejohanan tersebut. Namun, setakat manakah negara Malaysia bersedia untuk menghadapi belanja besar dan kejohanan tersebut sekiranya diberikan hak penganjuran ?

Sumber: Sportlens

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa