Siakap Keli
Gambar: Empire

Padah Rakam ‘Toy Story’ Dalam Instagram, Akaun Individu Disekat

Menonton filem terbaru di dalam panggung wayang dipercayai lebih menyeronokkan berikutan saiz skrin yang besar dan sistem bunyi yang bermutu tinggi. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakkan masyarakat seluruh dunia berpusu-pusu ke panggung wayang setelah sesuatu filem baru ditayangkan. Namun, panggung wayang mempunyai beberapa larangan seperti membawa makanan dari luar dan juga penggunaan segala bentuk kamera dengan tujuan menangkap gambar atau membuat rakaman. Berikutan itu, anda berisiko dikenakan denda sekiranya melanggar larangan tersebut.

Itulah yang terjadi kepada seorang wanita tempatan yang dikenakan tindakan sekatan ke atas akaun Instagram miliknya setelah memuat naik sedikit sedutan filem terbaru, Toy Story 4 di ruangan ‘Insta Story’.

Menurutnya, dia cuma berkongsikan beberapa saat sedutan dari filem tersebut dan menganggap sebagai satu perkara yang biasa. Namun, setelah beberapa hari, dia diberikan notis bahawa akaun miliknya telah disekat sementara dalam tempoh tiga hari.

Akaun Instagram saya disekat oleh Instagram. Di sini saya mengambil kesempatan untuk memberi peringatan kepada rakan-rakan supaya tidak mengulangi perbuatan saya yang dengan gembiranya memuat naik sedutan filem di Insta Story ketika menonton filem di panggung wayang.

Jika ingkar, anda akan disekat. Saya sangat terkejut kerana saya hanya mengesan beberapa saat sedutan filem Toy Story 4, dan kemudian mendapat e-mel pada waktu pagi yang mengatakan saya telah melanggar hak cipta Disney.

Dia yang terkejut dengan sekatan tersebut tidak menyangka bahawa pihak Disney melihat ‘Insta Story’ yang dimuat naik olehnya. Walaupun mengakui sesal akan perbuatannya, namun wanita ini tidak mempunyai dendam malah menasihatkan agar rakan-rakan serta pengikutnya di laman sosial tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Tindakan ke atas wanita berkenaan sebenarnya telah diambil oleh The Digital Millennium Copyright Act (DMCA) yang berperanan untuk mengesan pelanggaran hak cipta seperti yang berlaku ini. Selain kes wanita tersebut, terdapat juga kes lain yang menyebabkan sesebuah akaun di laman sosial disekat kerana melanggar hak cipta.

Sumber: Mothership

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa