Siakap Keli
Gambar Hiasan

Pesara Tentera Tikam Diri Selepas Tikam Isteri Sampai Mati

Setiap insan pastinya mengimpikan perkahwinan yang indah disulami dengan kasih sayang. Tetapi biasalah, tiada manusia sempurna yang terlepas dari ujian dan dugaan. Begitulah juga hubungan suami isteri, ada pasang surutnya. Bak kata orang, sedangkan lidah dari tergigit, inikan pula suami isteri.

Namun siapa yang sangka pergaduhan antara sepasang suami isteri telah berakhir dengan tragedi apabila si suami menikam isterinya sehingga mati sebelum menikam dirinya sendiri.

Lelaki berusia 56 tahun itu seorang bekas anggota tentera mengalami kecederaan parah pada bahagian perut kini menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata kejadian itu berlaku  di sebuah rumah  di Taman Seri Duyong Fasa Dua, di sini pada 9.30 pagi apabila lelaki itu dan isterinya  yang berumur 55 tahun bertengkar di bahagian dapur rumah itu.

Beliau berkata pertengkaran itu berlarutan hingga membawa  ke garaj kereta sebelum sampai ke kemuncak apabila lelaki itu menikam isterinya dengan pisau pemotong sayur  sebelum menikam dirinya sendiri dan kejadian itu disedari anak mereka yang berusia 25 tahun yang baru selesai mandi.

“Wanita itu yang maut ditempat kejadian  ditemui berlumuran darah  dengan empat kesan tikaman iaitu dua di bahagian hadapan dan dua di bahagian belakang badan terlentang bersebelahan suaminya yang turut mengalami kecederaan di bahagian perut,”  katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Afzanizar berkata pihak polis turut merampas sebilah pisau berukuran 23 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Menurut beliau, lelaki itu mempunyai kad perubatan rawatan psikiatrik, namun pihaknya masih meneliti tarikh rawatan terakhir diterima, selain mempunyai dua rekod lampau dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.