Siakap Keli
Gambar: The Vocket

“Panggilan Kecemasan Sahaja,” Bagaimana Boleh Hubungi Pihak Berkuasa Sedangkan Tak Ada Line?

Selain daripada kehabisan bateri telefon bimbit, ketiadaan liputan rangkaian juga merupakan situasi yang tidak digemari oleh kebanyakan pengguna. Perkara ini kerana pengguna tidak dapat menikmati faedah rangkaian tanpa wayar seperti berhubung dengan pengguna yang lain dan juga melayari internet. Oleh itu, rata-rata pengguna akan berusaha untuk mendapatkan sudut atau tempat yang sesuai bagi mencari rangkaian tersebut.

Sememangnya ketika berada dalam situasi berkenaan, pengguna tidak dapat menghubungi sesiapa sahaja di talian yang lain. Namun, bagaimana panggilan kecemasan dibenarkan ?

Tiada Rangkaian. Panggilan Kecemasan Sahaja

Sudah pastinya, ayat ini sering akan anda lihat sekiranya telefon bimbit anda tidak menerima liputan rangkaian yang sepatutnya. Persoalan ini sebenarnya dapat dikaitkan melalui menara rangkaian yang merupakan komponen penting dalam proses panggilan tanpa wayar. Ketika pengguna ingin membuat panggilan, rangkaian peribadi anda akan berhubung terus ke menara rangkaian yang berdekatan bagi mendapatkan rangkaian pengguna lain yang anda hubungi.

Gambar: The Skop

Namun, sekiranya anda berada jauh atau terhalang dari isyarat menara berkenaan, sudah pastinya telefon bimbit anda mempamerkan bar yang kosong menandakan anda tidak mendapat liputan rangkaian. Disebabkan itu, anda tidak boleh membuat panggilan ke semua rangkaian rakan anda kecuali panggilan kecemasan.

Gambar: 9eline.com

Kebanyakan pengguna berfikir bahawa terdapat teknologi yang khusus bagi membolehkan pengguna membuat panggilan kecemasan walaupun tidak mempunyai rangkaian. Namun, sangkaan rata-rata pengguna adalah silap kerana panggilan kecemasan yang dibuat ketika tiada rangkaian adalah dibantu oleh rangkaian pembekal yang lain.

Ketika telefon bimbit anda kekurangan rangkaian sehingga tidak dapat membuat panggilan kecemasan, pihak rangkaian milik anda akan mengalihkan rangkaian tersebut kepada pembekal perkhidmatan rangkaian yang lain. Perkara ini membawa maksud anda akan menggunakan perkhidmatan rangkaian yang lain untuk membuat panggilan kecemasan.

Hal ini dapat dijelaskan melalui teknologi GSM yang direka khas bagi membolehkan anda menggunakan rangkaian pembekal perkhidmatan yang lain ketika ketiadaan liputan rangkaian anda sendiri. Namun, akses ini adalah terhad iaitu hanya boleh digunakan untuk membuat panggilan kecemasan sahaja.

Walau bagaimanapun, sekiranya sememangnya tiada liputan rangkaian di kawasan berdekatan, ia membawa makna telefon bimbit anda tidak boleh berfungsi sepenuhnya dan juga tidak dapat membuat panggilan kecemasan.

Sumber: ScienceABC

syafiq halim