Siakap Keli
Gambar: Fox 4 News

15 Jam Mencari, Polis Temui Mayat Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Kereta Dengan Suhu Mungkin Cecah 50ºc

Pencarian pihak Polis di Denton, Texas selama 15 jam berakhir tatkala mereka menemui sesuatu yang mengejutkan. Ketika itu mereka sebenarnya sedang mencari seorang kanak-kanak berusia 2 tahun yang dilaporkan.

Ya benar, mereka berjaya menjumpainya tetapi hanyalah jasad tanpa nyawa. Pihak Polis menjumpai mayat berkenaan di dalam sebuah kenderaan SUV berdekatan pangsapuri kediamannya.

Ketua Polis Denton, Frank Dixon mengatakan “Kami berada di sini pagi tadi untuk mencarinya tetapi yang kami temui hanyalah mayatnya. Kami sangat sedih di atas perkhabaran duka ini.”

Beliau turut menjelaskan bahawa kenderaan SUV terbabit mempunyai cermin gelap dan terparkir tidak jauh dari rumah mangsa dan ia dimiliki oleh jiran mereka.

Menurut keterangan dari ibu mangsa, beliau telah menidurkan anak lelakinya itu dan ketika beliau kembali untuk memeriksa keadaan anaknya itu, beliau dapati kanak-kanak terbabit telah hilang. Lalu, beliau segera menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan perkara tersebut.

AccuWeather menyatakan bahawa suhu mencapai 34°C di Denton, bermakna suhu di dalam kereta berkenaan mungkin telah melonjak sehingga 50°C.

“Dengan cuaca di Texas sekarang dan mangsa hanya berusia dua tahun, tidak mustahil suhu badannya boleh meningkat secara mendadak,” kata Ketua Polis Denton, Frank Dixon.

Dan pemeriksaan awal mendapati tiada tanda trauma yang jelas pada tubuh mangsa. Setakat ini, masih tiada sebarang petunjuk mengenai elemen jenayah dalam kes ini.

Di akhir ucapannya, beliau menambah bahawa sekarang bukan masanya untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Sumber: Fox 4 News & The Sun UK

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.