Siakap Keli
Kredit: Anak Felda

”Anak Sapa Ni”, Berkaki Ayam Bawa Bantal Busuk, Lagi Viral Video Budak Kecil Merayau Seorang Diri

Semakin hari semakin banyak kes kelalaian ibu bapa meninggalkan anak kecil sendirian. Ada yang tertinggal anak dalam kereta sorong bayi, terlepas pandang anak keluar rumah berjalan seorang diri sehinggalah tertinggal anak di dalam kereta yang terkunci.

Tiada ibu bapa yang sengaja membahayakan anak sendiri, namun langkah pencegahan haruslah diambil untuk sama-sama mengawasi pergerakan anak kecil kerana mereka tidak tahu bahaya yang menanti.

Orang dewasa di sekeliling juga perlu prihatin dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di depan mata.

Pasti ada yang berfikir, “Nanti kalau menyibuk, mak ayah budak marah. Baik jaga perihal masing-masing.”

Ada benarnya. Namun, ibubapa perlu berterima kasih atas keprihatinan orang lain kerana anak-anak bukan 24 jam di hadapan mata. Kita masih memerlukan keprihatinan orang lain demi keselamatan anak-anak sepanjang masa. Jangan kerana ego, anak yang merana. Orang sekeliling pula, prihatin biarlah kena dengan cara.

“Anak sapa ni?”

Terbaru, seorang lelaki berkongsi rakaman seorang kanak-kanak yang kelihatan sesat sendirian di sebuah kampung di utara tanah air.

Kanak-kanak berusia lingkungan 2 tahun itu dilihat berkaki ayam berjalan seorang diri sambil mengendong bantal dengan puting getah di mulut dan menangis sepanjang mencari jalan pulang.

Lebih menyukarkan keadaan, dia dikatakan belum mampu bercakap untuk menunjukkan arah rumahnya.

Lelaki yang mengekorinya turut bertanya kepada penduduk sekitar andai mereka mengenali ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

“Nasib baik jumpa orang baik”

Keadaan jalan yang dilalui kanak-kanak tersebut memang merisaukan. Sudahlah jalan berbatu, kiri kanan pula hutan dan semak samun. Rumah penduduk pula berjarak agak jauh antara satu ke satu rumah lain di sepanjang jalan yang sunyi itu.

“Macam mana boleh terlepas budak ni, nasib baik ada orang baik hati. Kalau tak, mak bapak menyesal tak berguna.

“Pintu depan dan belakang harus ditutup agak anak-anak tidak dapat keluar. Berhati-hati sesiapa yang mempunyai anak kecil,” pesan salah seorang pengguna Facebook.

Terima kasih sebab hantar balik..

“Kesian jalan tak pakai kasut, sakit kaki tu..”

“Makcik dok membakar kat belakang”

Di akhir video, lelaki itu telah menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada seorang wanita warga emas dipercayai nenek yang mengasuhnya.

Wanita itu menjelaskan, dia tidak perasan kanak-kanak tersebut keluar dari rumah kerana dia sedang melakukan kerja di belakang rumah.

Dia kemudiannya berterima kasih kepada lelaki yang menghantar anak kecil tersebut hingga ke rumah.

Sumber: Anak Felda

Amira

Love yourself.