Dengar sahaja mengenai kejadian rogol, pasti kebanyakan daripada kita mula memikirkan keadaan mangsa sebelum dan selepas kejadian. Lebih teruk lagi, ada individu yang lebih memikirkan pakaian yang dipakai mangsa sekaligus meletakkan kesalahan kepada pakaian mangsa atas kejadian.
Mungkin atas alasan inilah yang membuatkan satu kumpulan individu memilih untuk mengadakan satu pameran pakaian yang digelar “What Were You Wearing?(Apa Yang Kamu Pakai Ketika Itu?)” di Brussels, pada awal tahun lalu.
Walaupun ia telah dilaksanakan beberapa bulan lepas, pameran berkenaan kembali menjadi tular selepas dikongsikan beberapa akaun terkenal antarabangsa di media sosial baru-baru ini.
Sesuai dengan namanya, pameran itu menayangkan pakaian-pakaian yang digunakan oleh mangsa rogol semasa dinodai oleh ‘pemangsa’ mereka.
Antara pakaian yang dipertontonkan pakaian tidur, kemeja T biasa, uniform sekolah dan yang paling mengejutkan, uniform polis. Penganjur juga telah mengumpulkan pengakuan atau penerangan daripada beberapa mangsa yang telah sudi berkongsikan pakaian mereka.

Salah seorang mangsa yang dipercayai seorang anggota polis memberitahu, uniform dan senjata yang dimilikinya ketika kejadian masih gagal menghalang perogolnya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.
Seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar sekolah pula mengakui telah dinodai oleh bapa tirinya selepas pulang dari sekolah sebelum ibunya tiba di rumah.

Menurut wakil penganjur, Delphine Goossens, mereka mengambil inspirasi daripada satu pameran serupa yang pernah dihasilkan oleh sekumpulan penuntut di Universiti Kansas beberapa bulan sebelum itu.
Goossens menambah, mereka berharap pameran ini dapat membuka mata ramai pihak untuk tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada mangsa dan pakaian yang mereka pakai ketika dirogol.
Diharapkan pameran seperti ini dapat diperluaskan ke lebih banyak tempat termasuk di negara kita di masa akan datang.