Menonton filem seram di panggung wayang jauh lebih menakutkan daripada menontonnya di kaca televisyen, laptop mahupun telefon pintar. Namun, apa yang anda rasa jika anda menonton filem seram di dalam pawagam ‘bersama’ orang yang sudah meninggal dunia? Pasti cuak, bukan?
Ya, itulah yang dirasai oleh beberapa individu yang pergi menonton filem Annabelle Comes Home di sebuah pawagam dekat Thailand baru-baru ini apabila tanpa disedari, seorang lelaki telah meninggal dunia semasa menonton filem berkenaan.
Lelaki tersebut berusia 77 tahun yang merupakan warganegara Britain dikatakan datang ke Thailand untuk melancong. Bagaimanapun, dia ditemui sudah tidak bernyawa selepas tamat tayangan filem berkenaan oleh seorang penonton wanita yang duduk berhampirannya.

Wanita tersebut kemudiannya bergegas menemui staf pawagam sebelum mereka menghubungi pasukan kecemasan. Setibanya di tempat kejadian, lelaki itu disahkan telah meninggal dunia.
Kejadian itu jelas mencemaskan penonton lain dan rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan kejadian itu. Menurut mereka, pihak panggung sepatutnya menyedari keadaan lelaki itu lebih awal.
“Mereka berada dalam satu panggung yang sama dengan seorang lelaki yang sudah meninggal dunia. Penonton ini tidak berpuas hati, ada di antara mereka yang duduk dekat dengan mayat berkenaan,”kata salah seorang penduduk berhampiran tempat kejadian.

Pihak polis berkata mayat lelaki tersebut telah dibawa ke sebuah hospital di Banglamung untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar. Setakat ini, mereka tidak mahu mengaitkan kematian itu dengan orang lain sekaligus ia berkemungkinan tidak berkaitan dengan jenayah.
Dalam pada itu, pihak mereka kini sedang berunding dengan kedutaan Britain di sana untuk urusan pengurusan mayat beliau.
Sumber: Mirror UK