Siakap Keli
Autistik dan artistik - Stephen Wilthire.

Hanya 20 Minit Naik Helikopter, Lelaki Autism Mampu Melukis Bandar New York Dengan Terperinci

Setiap orang dilahirkan dengan kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Kelebihan inilah yang kita gunakan untuk menambah baik hidup sendiri dan orang sekeliling bagi menjadi individu yang bermanfaat untuk ummah.

“God will give each and every person a purpose of life that only he or she can do it.”

Seorang cendekiawan pernah berkata, Tuhan mungkin tidak memberikan seseorang semuanya, tetapi Dia juga tidak menciptakan seseorang tanpa apa-apa.

Walaupun penuh rintangan, kanak-kanak autisme mempunyai potensi untuk berkembang seiring rakan sebaya bahkan mungkin lebih lagi, bergantung kepada cara pembentukan dirinya.

Seorang aktivis kempen kesedaran autisme pernah berkata, anak-anak autistik ibarat botol dengan bentuk penutup yang unik. Proses mengenalpasti potensi dan bakat mereka ibarat mencari penutup unik yang bersesuaian dengannya.

Kelebihan mereka perlu dicari sama seperti kata-kata seorang tokoh autistik merangkap Professor Sains Haiwan di Colorado State University, Dr. Temple Grandin,

“Anak-anak perlu didedahkan dengan pelbagai perkara sebelum dia meminati sesuatu perkara tersebut. Sekiranya dia tidak didedahkan dengan peralatan muzik, bagaimana mungkin dia akan tertarik untuk meminatinya?”

Dr. Temple Grandin merupakan penghidap autisme yang sering memberi kesedaran tentang potensi mereka. (Gambar: Rosalie Winard)

Pelukis autistik yang artistik

Benarlah kata-kata Dr. Temple Grandin bahawa anak-anak perlu didedahkan kepada sesuatu perkara sebelum minat mereka terserlah. Stephen Wiltshire merupakan salah seorang daripada 100 individu autistik yang mempunyai kemampuan luar biasa – melebihi individu biasa yang lain.

Stephen dilahirkan di London, United Kingdom pada 24 April 1974 sebagai kanak-kanak yang bisu dan tidak bercampur dengan orang lain. Pada usia 3 tahun, beliau disahkan menghidap autisme.

Stephen terkenal dengan kemampuan luar biasanya melakar pemandangan hanya setelah memerhati dan mengingati dalam tempoh yang singkat. Beliau telah melanjutkan pelajarannya dalam Seni Halus di City and Guilds Art College.

Pada 2006, Stephen telah dianugerahkan MBE, anugerah Diraja Britain atas sumbangannya dalam dunia seni. Kini, beliau memiliki galeri seni tersendiri bernama The Stephen Wiltshire Gallery yang terletak di tempat kelahirannya, London.

Sering tantrum tanpa sebab

Seperti kebanyakan kanak-kanak autistik yang lain, Stephen Wiltshire membesar dengan ragam dan ibarat terperangkap dalam dunia tersendiri. Menurut kenalan keluarganya, Michael Vincent, Stephen tidak berkomunikasi dengan orang sekeliling melainkan dengan sering mengamuk dan menjerit secara tiba-tiba tanpa sebab.

Paparan skrin dokumentari ‘Stephen Wiltshire – The Human Camera’. (Kredit: Paul Holland)

Bukan itu sahaja, Jude Ragan, Guru Besar di sekolah tempatnya belajar, Queensmill School berkata,

“Stephen tidak mampu berkomunikasi seperti kanak-kanak lain kerana kemampuan otaknya dalam mempelajari bahasa berbeza dengan orang lain sejak awal lagi.”

“Sejak Stephen datang ke sini (sekolah), dia banyak menjerit dan menangis. Disebabkan tidak mampu berkomunikasi dengan percakapan, kami tidak tahu bagaimana untuk menenangkannya,” tambahnya lagi.

Berikutan itu, Stephen menyalurkan tekanan yang tidak dapat diluahkannya melalui lukisan.

Memori fotografik

Mempunyai minat yang dalam terhadap rekabentuk bangunan, Stephen sering menghasilkan lakaran binaan di pelbagai tempat pilihannya.

Luar biasa dan menakjubkan, daya pemerhatiannya ibarat kamera apabila beliau mampu mengingati setiap butiran binaan di dalam sesebuah bandar dan melakarkan bandar tersebut secara terperinci ke atas kertas.

Dengan melakukan tinjauan dalam masa kira-kira 20 minit sahaja melalui helikopter, Stephen mampu mengingati setiap butiran bandar New York seluas 7 batu (18.13 km) persegi dan melakarkannya semula dalam masa 5 hari sahaja.

Selain itu, beliau juga pernah mengingati perincian istana Mahkamah Hampton dalam masa 10 minit dan melakarnya dalam tempoh kurang 1 jam.

Lakaran istana tersebut sangat terperinci dengan bilangan tingkap dan tiang yang sama seperti binaan sebenar.

Istana Kehakiman Hampton. (Sumber: Stephen Wiltshire)
Lakaran asli bangunan Selfridges, Oxford Street, London bersaiz A4 dijual pada harga kira-kira RM 12, 743. (Sumber: Stephen Wiltshire Official Site)
Lakaran ‘Mini Globe of New York’. (Sumber: Stephen Wiltshire)
Lakaran edisi terhad Brooklyn Bridge, New York City. (Sumber: Stephen Wiltshire)

Sumber: Paul Holland, Stephen Wiltshire Official Site

Amira

Love yourself.