Siakap Keli
Gambar Hiasan

Pelayan Restoran Dipukul Selepas Tegur Sekumpulan Lelaki Membuat Bising

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran warganegara India cedera dipukul setelah menegur sekumpulan enam lelaki yang membuat bising di sebuah restoran di Semenyih, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam itu, kumpulan lelaki terbabit yang berang akibat ditegur, bertindak memukul mangsa menggunakan kerusi dan kayu.

Beliau berkata kumpulan lelaki terbabit dipercayai turut meminta mangsa membayar wang perlindungan RM1,000 setiap bulan kepada mereka.

“Akibat daripada kejadian tersebut, mata mangsa lebam dan mengalami sakit di bahagian belakang badan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Fazilatul Aida di talian 012-2667402.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 dan 385 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta pemerasan, katanya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.