Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: The Independent/CNN)

Didakwa Dicuri Dan Lelongan Dibatalkan, Kepala Firaun Popular Berjaya Dijual Puluhan Juta Ringgit

Sebuah patung atau arca kepala Firaun Tutankhamun yang dikatakan berusia 3,000 tahun telah berjaya dijual pada harga $5.97 juta(~RM24 juta) dalam satu lelongan di London baru-baru ini.

Arca yang bersaiz 11-inci tersebut telah dijual oleh Christie’s Auction House namun identiti pembelinya tidak didedahkan.

Foto: Christie’s/CNN

Bagaimanapun, penjualan artifak berkenaan telah mencetus kontroversi pada awalnya apabila ia didakwa telah dicuri dan pihak berkuasa Mesir mahu lelongan tersebut dibatalkan.

Ia bermula pada bulan Jun lalu apabila kerajaan Mesir meminta Christie’s dan UNESCO untuk menangguhkan lelongan dan mengarahkan mereka untuk menunjukkan dokumen sebagai bukti pemilikan artifak tersebut.

Kerajaan Mesir melalui kedutaan mereka di London juga meminta Pejabat Luar UK untuk memulangkan arca tersebut kepada mereka. Mesir jelas kecewa dengan keputusan Christie’s untuk meneruskan juga penjualan artifak berharga berkenaan.

Foto: Christie’s/CNN

Firaun Tutankhamun adalah salah seorang firaun yang popular disebabkan beliau menaiki takhta pemerintahan pada usia yang sangat muda.

Beliau menjadi firaun pada umur sembilan tahun, namun tidak dapat memerintah dengan lama apabila meninggal dunia pada usia 19 tahun yang mana tempoh pemerintahannya dipercayai bermula dari 1333 BC hingga 1323 BC.

Bercakap mengenai tuntutan kerajaan Mesir, Christie’s menganggap mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Mereka (Mesir) tidak pernah mengambil peduli mengenainya sebelum ini walaupun menyedari akan situasi ini sudah lama,” jelas Christie’s.

Sumber: CNN

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi