Siakap Keli
Gambar: Penang Foodie & rnz.co

Syarikat Teknologi China, Huawei Bakal Lawat Perpustakaan Digital Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 6 Julai (Bernama) — Syarikat teknologi utama China, Huawei bakal mengadakan lawatan ke Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) untuk menerokai peluang pelaburan dalam bidang teknologi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata PDL merupakan satu-satunya perpustakaan digital di Malaysia yang tidak mempunyai sebuah buku dan beroperasi selama 24 jam sehari.

Menurutnya, dalam lawatannya ke ibu pejabat Huawei di Shenzhen, China baru-baru ini, beliau telah mempelawa syarikat itu supaya melawat perpustakaan digital di Malaysia untuk melihat sejauh mana mereka boleh memberi sumbangan dalam mempertingkatkan sistem teknologi di sini.

“Selepas diberi taklimat oleh Huawei di China, saya juga jemput mereka untuk datang dan melihat sendiri sama ada mereka boleh memberikan sokongan, iaitu dengan memberi imbuhan atau tambahan dalam unsur-unsur teknologi 5G,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata PDL kini sedang menawarkan sistem Internet berkelajuan 4G dan beliau berharap dengan adanya sokongan Huawei ini, sistem Internet PDL bakal diperhebatkan.

“Kemungkinan mereka akan datang dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi bagi melihat dengan lebih lanjut berkenaan dengan PDL,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Huawei boleh membantu, ini akan menjadi satu projek perintis dalam usaha untuk meningkatkan sistem Internet berkelajuan 5G.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan telah mengumumkan kejayaan PDL bersama projek prinsipal arkitek Tan Bee Eu yang telah memenangi pingat emas yang dianugerahkan oleh Persatuan Arkitek Malaysia.

Katanya, anugerah itu adalah sebagai memberi pengiktirafan kepada arkitek bangunan PDL yang telah diusahakan oleh kerajaan negeri dalam usaha kerjasama awam dan swasta sejak tiga tahun lepas.

“Anugerah itu jelas menunjukkan projek PDL telah menerima perhatian bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di luar negeri. Kita juga bakal memperluaskan model pembinaan PDL ini ke negeri Kedah dengan bekerjasama dengan arkitek yang sama,” katanya.

Dalam laporan bulan lepas, Lim telah mengumumkan kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) meluluskan peruntukan RM15 juta bagi pembinaan perpustakaan digital di Alor Setar, Kedah.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di