Siakap Keli
Gambar : Facebook

Jumlah Mangsa Banjir Di Melaka Meningkat Kepada 745 Orang

Melaka : Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka setakat pukul 2.00 petang ini meningkat kepada 745 orang melibatkan 150 keluarga berbanding 141 orang daripada 18 buah keluarga pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata enam buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka.

”Enam buah PPS itu ialah PPS Balai Raya Bukit Balai mencatat perpindahan 34 mangsa daripada tujuh keluarga, PPS Masjid Al-Rasyidin (166 orang daripada 39 keluarga), PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan (118 orang daripada 33 keluarga).

”PPS Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam (50 orang daripada 10 keluarga), PPS Balai Raya Kampung Beringin (90 orang daripada 15 keluarga), PPS Sungai Tuang (Sembilan orang daripada dua keluarga),” katanya kepada sumber di sini hari ini.

Beliau, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, berkata dua PPS mencatat peningkatan bilangan mangsa di PPS Balai Raya Panchor kepada 117 orang berbanding 81 pelajar dan staf pusat tahfiz pagi ini.

Pertambahan di PPS itu berlaku apabila 81 orang mangsa daripada dua keluarga telah dipindahkan ke PPS itu.

Effendy berkata, jumlah mangsa banjir PPS Balai Raya Gadek turut mengalami peningkatan kepada 66 orang daripada 17 keluarga berbanding 14 orang daripada tujuh keluarga dilaporkan pagi ini.

Jumlah mangsa banjir di dua PPS tidak berubah iaitu empat orang daripada sebuah keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Pegoh dan 13 orang daripada empat keluarga berteduh di PPS Bukit Tambun.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.