Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kuala Koh Bebas Daripada Zon Merah Bermula Esok-Polis

GUA MUSANG, 7 Julai (Bernama) — Larangan zon merah bagi Kampung Kuala Koh, yang menjadi penempatan bagi masyarakat Orang Asli suku Batek, ditarik balik bermula 8.00 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Gua Musang di Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Gua Musang di sini, hari ini selepas kawasan itu disahkan selamat daripada sebarang wabak penyakit berjangkit.

Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang memaklumkan berpuas hati dengan tahap kesihatan masyarakat Orang Asli di perkampungan itu yang kembali pulih seperti sediakala.

“Justeru, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan mengawal laluan masuk ke perkampungan itu di Felda Aring 10 akan menghentikan operasi mereka bermula pagi esok.

“Kita juga sudah memaklumkan perkara itu kepada semua agensi terbabit dan orang awam tidak mempunyai halangan lagi untuk ke Kampung Kuala Koh bermula tempoh itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Pada 12 Jun lepas, Polis Kelantan menguatkuasa larangan terhadap orang awam yang cuba memasuki perkampungan dengan mengisytiharkan Kampung Kuala Koh sebagai zon merah bagi mengelakkan penularan wabak demam campak yang menjangkiti masyarakat Orang Asli suku Batek.

Wabak berkenaan mengakibatkan 15 individu daripada masyarakat berkenaan meninggal dunia manakala 112 orang lagi menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli suku Batek di perkampungan itu termasuk menjalankan aktiviti gotong-royong di kawasan berkenaan boleh berbuat demikian bermula esok.

Sumber: Bernama

syafiq halim