Siakap Keli
Foto: USGS

Gempa Bumi Gegar Barat Daya Iran, Kematian Dan Puluhan Cedera Dilaporkan

Satu kejadian gempa bumi pada kekuatan 5.7 skala Ritcher telah menggegar beberapa kawasan di barat daya Iran hari ini. Kejadian itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 45 mangsa cedera dan seorang mangsa meninggal dunia.

Akan tetapi, kematian mangsa bukanlah disebabkan kecedaraan yang berpunca daripada gegaran tersebut namun dia dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas ia berlaku.

Gempa bumi berkenaan berpusat di kawasan Masjid Soleiman di daerah Khuzestan yang terletak kira-kira 450 kilometer dari Tehran dan berlaku pada kedalaman 17 km.

Antara kerosakan yang dialami akibat gempa(Foto: Tasnim/RFERL)

Selain daripada itu, sebanyak lebih kurang tujuh gegaran susulan telah berlaku selepas itu yang mana dilaporkan berlaku pada kadar kekuatan 4.3 hingga 4.8 skala Ritcher.

Gegaran berpunca dari gempa ini juga dikatakan dapat dirasai sehingga ke negara Kuwait.

Untuk rekod, gempa terburuk yang pernah melanda negara Iran berlaku pada tahun 1990 apabila gegaran sekuat 7.4 skala Ritcher telah membunuh sekitar 40,000 nyawa dan beratus ribu yang lain cedera.

Sumber: USGS, Gulf News

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi