Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Bloomberg/PhoneArena)

CEO Huawei Akui Kagum, Jadikan Apple Sebagai ‘Role Model’ Bisnes

Seperti yang kita sudah sedia maklum, Huawei dikenakan sekatan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini selepas dikatakan menjadi ‘ejen’ pengintipan rahsia bagi kerajaan China.

Mereka didakwa menyalurkan maklumat dan data peribadi milik pengguna untuk digunapakai oleh pihak Beijing. Bagaimanapun, Huawei telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan.

Bercakap dalam temuramah kepada CNBC, CEO Huawei, Ren Zhengfei telah mengulangi kenyataan tersebut dan menambah yang dirinya sentiasa menganggap Apple sebagai ‘role model’ apabila bercakap mengenai melindungi data dan privasi pengguna.

Seorang lelaki sedang menggunakan sebuah telefon pintar Huawei. (Foto: CNBC)

Menurutnya, Huawei tidak akan pernah menjual atau mendedahkan data dan privasi pengguna kepada mana-mana pihak walau apa jua alasannya.

Apple terkenal dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan sebarang data pengguna kepada sesiapa termasuklah jika ia melibatkan pihak polis sekali pun.

Tambah Zhengfei lagi, data pengguna adalah hak mutlak pengguna. Pembekal perkhidmatan boleh menjejak data pengguna melalui apa jua cara, namun Huawei tidak akan terlibat dengannya sama sekali.

Tindakan ini wajar dipuji kerana walaupun Huawei dan Apple saling bersaing dalam industri telefon pintar dunia, Zhengfei tidak malu untuk mengakui kekaguman terhadap keupayaan Apple dalam melindungi data dan privasi pengguna mereka.

Sumber: 9to5Mac, cnbctv18

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi