Siakap Keli

Hong Meng OS Didakwa Lebih Laju Dari Anroid Dan iOS, Tetapi CEO Huawei Mengaku Ada Kekurangannya

CE Huawei, Reng Zhengfei yakin bahawa sistem operasi yang dibangunkan syarikatnya, Hong Meng OS bakal beroperasi lebih pantas berbanding Android dan iOS tetapi mengakui ia tetap mempunyai kelemahan yang nyata.

Menurutnya, Hong Meng OS mungkin berhadapan masalah apabila ia melibatkan aplikasi telefon pintar terutama ketika berhadapan dengan pengeluar-pengeluar telefon bimbit yang menggunakan Android dan iOS.

Beberapa pihak cuba menawarkan sistem operasi tersendiri seperti Windows OS dan BlackBerry OS sebelum ini tetapi berhadapan dengan masalah untuk menawarkan gudang aplikasi yang besar bagi memenuhi permintaan pengguna.

Walaupun Huawei adalah syarikat pengeluar telefon bimbit kedua terbesar dunia, namun ia tetap berhadapan dengan masalah untuk meyakinkan pembangun aplikasi untuk bekerjasama dalam penghasilan aplikasi sesuai dengan Hong Meng OS.

Malah, tiada jaminan bahawa usaha berkenaan boleh memberikan keuntungan yang lumayan kepada pembangun aplikasi berbanding memberi tumpuan untuk membangunkan aplikasi bagi Android dan iOS.

Ketika ini, tidak diketahui dengan tepat bila tarikh sebenar Hong Meng OS bakal dilancarkan namun pemerhati dunia teknologi telefon bimbit berbelah-bahagi sama ada langkah yang diambil Huawei adalah bersifat positif atau sebaliknya.

Apatah lagi, Amerika Syarikat baru-baru ini telah pun mengumumkan bahawa sekatan keatas Huawei telah ditarik balik dan urus niaga disambung semula selagi mana ia tidak mengganggu-gugat keselamatan negara kuasa dunia itu.

Sumber: Techradar

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.