Siakap Keli
Foto: France24

Terima Ancaman Bom, Masjid Terbesar Di Jerman Terpaksa Dikosongkan Polis

Masjid terbesar di Jerman yang terletak di bandar Cologne, Masjid Pusat Cologne telah dikosongkan selepas mereka menerima satu ancaman bom melalui kiriman e-mel hari ini.

Menurut laporan, pegawai pengurusan masjid telah menerima ancaman tersebut pada Selasa sebelum mereka melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Masjid itu kemudiannya dikosongkan dan kawasan jalan raya di Ehrenfeld, sekitar kawasan masjid berkenaan telah pun ditutup daripada digunakan orang awam.

Kompleks Masjid Pusat Cologne ini dikendalikan oleh kumpulan yang dikenali sebagai Turkish-Islamic Union for Religious Affairs atau DITIB.

Ibu pejabat mereka juga telah pun dikosongkan berikutan ancaman berkenaan.

Bagaimanapun, hasil pencarian pihak polis sejak dari tiba ke tempat kejadian mendapati tiada sebarang objek atau bungkusan yang boleh mengancam keselamatan telah ditemui di kawasan sekitar kompleks.

Jerman adalah negara dengan populasi Muslim kedua terbesar di Eropah selepas Perancis, dipercayai hampir 4.7 juta Muslim tinggal di sana yang mana tiga juta daripada mereka adalah berketurunan Turki.

Akan tetapi, masalah Islamophobia dilihat semakin meruncing di sana sejak kebelakangan ini dan ia dibantu dengan propaganda parti serta pergerakan pelampau kanan.

Pihak polis juga telah merekodkan sejumlah 813 jenayah berbaur kebencian terhadap orang Islam di Jerman sepanjang tahun lepas yang merangkumi penghinaan, surat ugutan, serangan fizikal serta serangan terhadap masjid.

Sumber: YeniSafak

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi