ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama) — Kerajaan negeri Kedah mengumumkan 30 Julai ini, iaitu Selasa, sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negeri ini sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Exco memutuskan bahawa kita akan ada hari kelepasan am tambahan sempena istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 pada 30 Julai ini iaitu pada hari Selasa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pada sidang media sama Mukhriz menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha kilang kitar semula berasaskan sisa plastik di Bakar Arang, Sungai Petani yang menjalankan operasi mereka tanpa lesen.
Beliau berkata berdasarkan pemantauan pihak kerajaan negeri mendapati terdapat 15 kilang sedemikian yang beroperasi tanpa lesen dan arahan menghentikan operasi di situ telah pun dikeluarkan, termasuk tindakan sita dikenakan sebelum ini, namun ada antara kilang berkenaan dikesan masih lagi menjalankan aktiviti mereka.
“Laporan yang kita terima, termasuk (daripada) penduduk setempat ialah ada di antara kilang-kilang itu masih lagi beroperasi. Kita juga telah bincang perkara ini dengan pihak Tenaga Nasional (Berhad) dan SADA (Syarikat Air Darul Aman) supaya bekalan api dan air ini dapat dipotong terus, ada beberapa kekangan dan harap dapat diselesaikan segera,” katanya.
Pada 5 Julai lepas, akhbar tempatan melaporkan mengenai kualiti udara di Bakar Arang, Sungai Petani berada dalam keadaan tercemar dipercayai berpunca daripada operasi beberapa kilang kitar semula yang kebanyakannya berasaskan sisa plastik di kawasan itu.
Bagaimanapun, semalam Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah Simon Ooi Tze Min dalam sidang medianya dipetik sebagai berkata kualiti udara di kawasan Bakar Arang masih baik dan terkawal setakat ini.
Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bercadang untuk membangunkan ‘Kedah Digital Library’ di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini dan peruntukan bagi tujuan itu disediakan pihak NCIA dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan.
“…dan dalam tempoh terdekat kita akan menyaksikan pembaharuan akan berlaku di memorial itu, menjadi satu pusat digital yang diminati ramai,” katanya.
Sumber: BERNAMA