Siakap Keli
Gambar Hiasan

Keluar Setitik Darah Selepas Persetubuhan: Adakah Dikira Haid? Ini Penjelasan Mufti

Kebiasaannya bagi wanita akan datang bulan atau haid dalam tempoh kitaran haid hari ke 29-32 setiap bulan.  Ada juga sesetengah wanita, kitaran datang bulannya tidak menentu. Tetapi untuk topik yang akan dibincangkan ini berkenaan dengan darah yang keluar selepas bersetubuhan dengan suami.

Seorang wanita ini telah bertanyakan kepada mufti tentang pada hari ke 12 datang bulan dia dapati darahnya sudah kering dan yakin boleh bersetubuh, kemudiannya pada keesokan harinya terdapat setitik darah semasa dia hendak tunaikan solat Zuhur. Soalannya sangat berguna kepada para wanita mengenai ini.

Darah yang keluar tadi, dikira sebagai haid atau sebaliknya. Ini penjelasan Mufti untuk jauhi kekeliruan para wanita mengenai masalah ini.

Pertamanya, kita perlu mengetahui apakah takrif darah haid. Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mentakrifkan haid sebagai berikut: “Erti haid pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haid di sisi Syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”

Justeru berdasarkan, takrif ini, darah yang keluar bukan daripada pangkal rahim dianggap bukan haid, seperti akibat luka pembedahan dan sebagainya.

Kedua, darah yang keluar daripada rahim dalam tempoh 15 hari pada waktu kebiasaan haid, yakni bukan waktu suci, adalah dianggap sebagai darah haid. Ini sekalipun jika darah itu keluar terputus-putus, dengan syarat darah itu keluar selama sehari dan semalam, atau 24 jam. Ini kerana tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari.  Jika darah itu berterusan sehingga melebihi had 15 hari, maka itu adalah darah istihadah.

Oleh itu darah yang keluar kali kedua selepas berhenti sekalipun setitik dua, selagi mana ia keluar dalam tempoh 15 hari, maka dianggap sebagai haid, tanpa mengira sifat darahnya lemah atau kuat. Ini kerana adat haid seorang wanita itu boleh berubah dari bulan ke bulan.  Ini berdalilkan hadis daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, bahawa dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah SAW bersabda:

Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”

Kesimpulannya, puan yang bertanya hendaklah meneliti keadaan darah yang keluar itu:

1. Sekiranya darah berasal daripada rahim, maka ia adalah haid kerana keluar dalam tempoh sepanjang-panjang haid iaitu 15 hari. Maka puasa pada hari ke-12 dan 13 itu tidak sah dan wajib digantikan mengikut pendapat yang al-Sahab yang mu`tamad. Ini kerana waktu naqa’ antara dua darah yang keluar itu dianggap haid, manakala mengikut pendapat al-Laqt yang tidak muktamad, puasa pada hari ke-12 itu sah dan tidak perlu digantikan. Adapun hubungan kelamin dengan suami pada malan ke-13 itu tidaklah berdosa kerana dilakukan tanpa sengaja kerana sangkaan bahawa haid sudah berhenti.

2. Tidak juga dituntut untuk membayar kaffarah bagi demikian itu kerana ia dilakukan tanpa sengaja. Berkata Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Tolibin (1/136): “Adapun jika suami itu bersetubuh dengan isterinya kerana lupa, atau jahil terhadap pengharamannya, atau jahil yang wanita itu sedang haid, maka tiada apa-apa ke atasnya secara qat’ie.” Namun puasa hari ke-13 itu juga wajib diganti.

3. Sekiranya darah itu bukan berasal daripada rahim, yakni akibat luka di alat sulit disebabkan hubungan kelamin dengan suami, maka darah itu bukan darah haid sebaliknya adalah darah fasid. Ini kerana ia tidak bertepatan dengan definisi darah haid yang datang daripada rahim. Sama juga hukumnya bagi darah yang keluar akibat koyakan pada selaput dara. Justeru, ia hanya perlu dibersihkan sebelum menunaikan solat dan tidak mewajibkan mandi. Maka, puasanya pada hari ke-12 dan ke-13 itu adalah sah dan tidak perlu digantikan.

Semoga jawapan ini memberikan kejelasan kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Persekutuan

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang