Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lelaki Menyamar Doktor Untuk Melakukan Gangguan Seksual Ditahan Polis

Shah Alam : Seorang lelaki yang menyamar dirinya sebagai doktor untuk melakukan gangguan seksual ke atas wanita melalui telefon ditahan polis di sebuah hotel di Klang, dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata suspek berumur 39 tahun yang berasal dari Terengganu itu ditahan pada pukul 8.45 malam dan turut dirampas bersamanya adalah sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menghubungi mangsa.

Beliau berkata sebanyak tiga laporan polis diterima pihaknya sepanjang Jun lepas mengenai kegiatan lelaki berkenaan dan siasatan lanjut mendapati, 21 laporan berkaitan kes itu turut dibuat oleh mangsa yang berlainan di seluruh negara.

”Mangsa-mangsa ini terdiri daripada wanita Melayu yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan bagi syarat permohonan perkahwinan. Suspek akan menelefon kesemua mangsa ini dan menyamar sebagai doktor untuk memaklumkan hasil pemeriksaan.

 ”Mangsa juga akan diberitahu kononnya mereka mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kanser payudara, masalah darah, ketulan di payudara dan sebagainya.

”Seterusnya melalui telefon, suspek akan mengarahkan mangsa-mangsanya supaya membaringkan diri sambil berpusing ke kiri dan kanan, mencangkung sambil menggosok kemaluan, menepuk buah dada, membuat bunyi terangsang sambil bercakap perkataan lucah dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Fadzil, siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 148/326 kanun sama iaitu merusuh dan sengaja mendatangkan kecederaan.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat sumber sebenar yang digunakan suspek untuk memperoleh nombor-nombor telefon mangsa berkenaan.

Katanya, lelaki tersebut kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.