Siakap Keli

Rasuah Polis RM85, Pemegang Kad UNHCR Dipenjara Tiga Bulan, Denda RM10,000

SEREMBAN, 10 Julai (Bernama) — Seorang lelaki warganegara Myanmar dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memberi rasuah RM85 kepada seorang anggota polis.

Tertuduh, Mustapha Kamal Mohd Hashim, 26, yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dijatuhkan hukuman tersebut setelah mengaku bersalah melakukan rasuah, di hadapan Hakim, Madiha Harullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 7 Jan lalu, pukul 1 petang di Taman Jujur, Sikamat, telah memberikan suapan wang tunai RM85 kepada Koperal Muhammad Hafizuddin Wahab, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, kerana didapati menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.